Berita Utama

Muafakat Nasional: PAS robek kepercayaan UMNO bila bersama PN

Bagaimana kestabilan terjalin jika perkara paling asas diabaikan?

BANGI, 5 Safar 1444H, Jumaat – UMNO mendakwa tindakan PAS bersama Perikatan Nasional (PN) telah menenggelamkan momentum kerjasama yang dibina dua parti itu melalui Muafakat Nasional (MN).

Ini kerana kunci kejayaan dan kestabilan politik MN adalah kepercayaan, dan perkara itu telah dirobek oleh PAS apabila memilih untuk menganggotai PN di bawah Parti Pribumi Malaysia Bersatu (Bersatu).

Justeru, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimana kestabilan, keyakinan dan kerjasama kukuh dapat terjalin sekiranya perkara paling asas diabaikan.

“Lebih lagi dengan parti yang sememangnya jelas ingin menghancurkan UMNO dari luar dan dari dalam.

“Semangat Muafakat Nasional tidak sekadar dimanifestasikan sebagai kerjasama politik, tetapi terjemahan besarnya adalah dalam satu bentuk wadah nasional yang lebih subur dan murni yang dipasakkan kepada sejarah dan watak Malaysia, Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan bahawa parti itu tidak pernah mengisytiharkan pembubaran MN.

Tuan Ibrahim berkata, platform penyatuan ummah itu perlu diteruskan demi kepentingan bangsa Melayu dan Islam serta masa depan negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerjasama UMNO dan PAS seharusnya menjadi entiti terbaik bagi memimpin jalan ke depan kerana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, undi kedua-duanya boleh mencecah hampir 50 peratus mengatasi Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, MN lahir daripada keperluan mendesak dua parti terbesar Malaysia akibat kehilangan keyakinan rakyat terhadap kerajaan ketika itu.

“Keyakinan kepada PH ketika itu mula menyusut, masa hadapan ketika itu kelihatan malap dan hala tuju semakin tak jelas.

“Tetapi atas sebab itulah Muafakat Nasional ditawarkan kepada rakyat Malaysia, sebagai satu bentuk resolusi yang berani dan tegas daripada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau kelas sosial, supaya Malaysia dapat dipimpin semula dengan lebih terarah dan bertanggungjawab,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid melihat kerjasama yang disampaikan PAS hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal dan tidak mengmbil kira keperluan rakyat seperti semangat MN sebenar.

“Hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan PAS dapat dilihat.

“Kini UMNO perlu bergerak ke depan, parti sudah membuat keputusan bergerak secara solo akibat tindak tanduk dan sikap PAS sendiri.

“Tak perlu sedu sedan apabila PAS sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button