Dunia

Myanmar tambah lagi tempoh penjara Suu Kyi

Pemimpin diguling itu didapati bersalah menipu dalam pilihan raya

NAYPYIDAW, 5 Safar 1444H, Jumaat – Mahkamah Myanmar hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun ke atas bekas pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi selepas didapati bersalah terbabit penipuan pilihan raya.

Menurut sumber, Suu Kyi didapati bersalah melakukan penipuan dalam pilihan raya umum pada November 2020 yang dimenangi partinya – Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) – dengan majoriti besar perundangan sekali gus mengalahkan parti yang diwujudkan oleh tentera.

Sumber itu mendakwa, hukuman sama turut dikenakan ke atas presiden yang dipecat, Win Myint.

Jurucakap majlis tentera enggan mengulas keputusan itu, namun sebelum ini telah menyatakan bahawa Suu Kyi sedang berdepan proses pengadilan sewajarnya.

Penerima Anugerah Nobel itu ditahan sejak rampasan kuasa tentera awal tahun lalu dan telah dijatuhkan hukuman penjara lebih 17 tahun atas pelbagai tuduhan termasuk rasuah.

Suu Kyi, 76, telah dibicarakan selama lebih setahun atas pelbagai pertuduhan bermula dengan rasuah dan hasutan hingga kebocoran rahsia rasmi yang membawa hukuman maksimum melebihi 190 tahun.

Bagaimanapun, Suu Kyi menafikan semua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Perbicaraan ke atasnya diadakan secara tertutup di ibu negara, Naypyidaw.

Tentera merampas kuasa pada Februari 2021 untuk menghalang NLD daripada membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya yang dikatakan ada unsur penipuan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button