Berita Utama

PEMBELA anjur dialog dengan pemimpin empat parti Melayu-Islam

Dialog adalah tertutup kerana mahu sesi berlangsung dari hati ke hati

BANGI, 5 Safar 1444H, Jumaat – Melihat situasi kucar-kacir politik Melayu-Islam mutakhir ini, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengambil jalan menyediakan platform dialog bersama pimpinan parti dan gabungan politik Melayu-Islam utama di Malaysia.

Platform berkenaan membuka ruang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berdialog dengan empat pimpinan parti utama – UMNO, PAS, Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – mengenai idea pembangunan negara dan penjelasan terhadap beberapa isu berkaitan.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya sudah menghantar surat jemputan dialog kepada pejabat-pejabat presiden serta pengerusi parti terbabit.

“Kita memandang bahawa politik adalah fleksibel tetapi ada batas-batas syaraknya, berdasarkan prinsip agar umat Islam terus mendominasi kepimpinan negara secara berintegriti, bermaruah dan berpandangan jauh.

“Kita tidak melihat politik orang Melayu mahupun politik Islam itu hak mutlak mana-mana parti lebih-lebih lagi kesemua parti Melayu-Islam yang ada masing-masing ada kelemahan dan kesilapannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam ‘permainan’ politik demokrasi hari ini, rakyat perlu bijak menggunakan kuasa pengundi sebagai penentu kepada siapa yang akan memimpin, dan bukan sekadar bersikap mudah kerana terpaksa atau tiada pilihan lain.

Selaras dengan idea dialog itu, Aminuddin berkata, setiap parti akan mendapat slot tarikh berbeza dan tertutup kerana mahukan sesi itu berlangsung dari hati ke hati.

“Wakil-wakil NGO yang hadir akan bebas bertanyakan persoalan-persoalan kepada presiden parti.

“Maka, kita berharap agar pimpinan yang hadir itu nanti jujur dengan segala jawapan yang diberi. Tidak ada nak berlapik atau beretorik,” katanya.

Aminuddin berkata, pihaknya juga akan memaklumkan perkembangan mengenai sesi dialog itu dari semasa ke semasa berhubung parti mana yang memberi respon atau sebaliknya.

“Yang paling penting, parti mana yang menolak untuk berdialog atau mereka hantar ‘ikan-ikan bilis’ sahaja, kita akan uar-uarkan melalui media sosial untuk kita semua menilai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button