Berita UtamaDunia

Penceroboh haram Israel kekal bersalah bunuh keluarga Palestin

Bayi 18 bulan, ibu bapa maut akibat serangan bom api

TEL AIVI, 5 Safar 1444H, Jumaat – Mahkamah Agung Israel pada Khamis menolak rayuan seorang peneroka Yahudi yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup berhubung serangan bom api pada 2015 yang mengorbankan seorang kanak-kanak Palestin dan ibu bapanya.

Ali Dawabsha yang berusia 18 bulan maut terbakar apabila rumah keluarga di kampung Duma di Tebing Barat yang diduduki Israel diserang bom api pada Julai 2015.

Abangnya Ahmed – berusia empat tahun pada masa serangan – satu-satunya mangsa yang terselamat daripada keluarga terdekat bagaimanapun mengalami luka melecur teruk.

Ibu bapanya kemudian meninggal dunia akibat kecederaan.

Amiram Ben-Uliel, 25, dijatuhkan tiga hukuman penjara seumur hidup pada September 2020 atas pembunuhan itu, yang menimbulkan rasa jijik antarabangsa dan tuduhan kelalaian Israel.

Suspek yang juga didapati bersalah atas dua pertuduhan setiap satu percubaan membunuh dan membakar serta konspirasi untuk melakukan jenayah kebencian, telah memohon rayuan kepada mahkamah tertinggi Israel.

Namun, tiga hakim sebulat suara mengesahkan keputusan dan hukuman berkenaan.

Para hakim menolak rayuan itu, memetik ‘pengakuan’ Ben-Uliel, pembinaan semula lokasi kejadian jenayah dan konotasi perkauman bagi pembunuhan itu.

Tindakan Ben-Uliel ‘bertentangan dengan semua nilai moral agama Yahudi,’ tulis para hakim, sambil menambah kebencian terhadap agama lain dan perkauman tidak sesuai dengan agama itu.

Pembunuhan itu memberi tumpuan kepada ekstremisme Yahudi dan mencetuskan tuduhan bahawa Israel tidak melakukan langkah yang cukup untuk menghalang keganasan itu.

Seorang lagi lelaki Israel, yang berusia 17 tahun pada masa pembunuhan itu, turut dijatuhi hukuman penjara 42 bulan pada 2020 kerana peranannya dalam serangan berkenaan.

Israel telah menduduki Tebing Barat sejak Perang Enam Hari 1967.

Kira-kira 475,000 peneroka Yahudi kini tinggal di Tebing Barat dalam komuniti yang dianggap haram oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa, bersama kira-kira 2.8 juta rakyat Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button