Berita Utama

Pemuda MIC terburu-buru keluar kenyataan bela vernakular

Bersikap tak bertanggungjawab, kes masih dalam proses mahkamah

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin – Pergerakan Pemuda MIC bersikap terburu-buru apabila mengeluarkan kenyataan mahu mempertahankan sekolah vernakular pada ketika kes berkaitannya masih dalam proses mahkamah.

Malah, tindakan Ketua Pemuda MIC, K Raven Kumar mendakwa sekolah berkenaan adalah harta dan denyut nadi mereka disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Mohd Johari percaya, kenyataan itu adalah ‘peluru terakhir’ daripada pihak gabungan Dong Zong untuk membela sekolah berkenaan.

“Tidak sepatutnya (MIC) mengeluarkan kenyataan sedemikian, biar pun tahu ia masih diperingkat perbicaraan di mahkamah dan keadaan itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Ini hanya keputusan yang terburu-buru dan tidak memikirkan kesan jangka panjang,” katanya kepada Ismaweb. net, hari ini

Sebelum ini, Raven menegaskan, tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk memansuhkan sekolah vernakular khususnya sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil di negara ini.

Bagi MIC, dakwanya sekolah vernakular Tamil merupakan harta dan denyut nadi bangsa mereka.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Izzat mendakwa, Pemuda MIC sudah ketandusan idea sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan berhubung kes yang masih berada di mahkamah.

Beliau turut mempersoalkan kenapa kenyataan berkenaan keluar dari mulut Pemuda MIC dan bukannya kepemimpinan tertinggi parti berasaskan kaum India itu.

“Kenapa pergerakan pemuda sahaja yang berani menyuarakan pandangan berkenaan sedangkan ada lagi kepimpinan yang lebih tinggi dan berhak bersuara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan mengapa parti politik Melayu dominan yang sepatutnya bersama-sama memperjuangkan isu sekolah vernakular kini lebih berminat untuk diam membisu.

“Kami di PEMBELA mahu membetulkan keadaan tapi sayangnya sehingga kini tiada pihak yang tampil untuk berjuang demi membetulkan masa depan anak bangsa kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button