Berita Utama

Permintaan negeri tanding guna logo PAS akan dibincang dalam PN

Kekeliruan warna biru sama seperti BN antara faktor PAS mahu logo bulan

ALOR SETAR, 5 Safar 1444H, Jumaat – Permintaan beberapa PAS negeri yang mahu menggunakan logo parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti akan dibawa kepada perbincangan dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, keputusan muktamad mengenai logo belum dibuat lagi namun ianya mesti diputuskan oleh kepimpinan PN.



“Setakat sekarang, Kelantan mohon, Terengganu, Kedah. Terpulang kepada keputusan mesyuarat nantilah. Kita harap mana yang lebih ada peluang untuk pengundi sukalah,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Beliau tidak menolak persoalan permohonan tersebut kerana mengambil kira beberapa faktor antaranya kekeliruan pengundi berhubung warna biru di mana ia menyamai warna Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai 27 kerusi yang dikatakan boleh berlaku pertembungan antara PAS dan UMNO, Sanusi menyatakan keterbukaan untuk menyelesaikan perkara itu.

Ini kerana, katanya, jika tiada rundingan dibuat maka muncul kebimbangan kerusi yang menjadi pertembungan antara PN dan UMNO jatuh ke tangan PH.

“Boleh dirundingkan. Rundingan terpilih, rundingan terpilih di kerusi tertentulah. Saya rasa kalau tidak dirundingkan, siang-sianglah dapat kat PH (Pakatan Harapan), kan? Sayang pula. Rundinglah selagi boleh.

“Saya pun okay apa kalau nak berunding. Saya bersedia. Takut mereka tak sedia pasal saya sebut tadi kerusi tak cukup untuk semua orang, pemimpin politik itu kena ada tempat untuk bertanding.

“Jadi dia tak cukup (nakkan kerusi) macam mana dia nak pakat dengan kita? Saya faham dilema tu yang dihadapi oleh mereka,” katanya merujuk Ketua Bahagian dan Ketua sayap-sayap UMNO yang mahu kerusi bertanding PRU15.

Beliau berkata, seeloknya PAS dan UMNO berunding supaya tiada parti memerintah sendirian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button