Petisyen pengampunan Najib seolah persoal kredibiliti mahkamah
Terpulang kepada sesiapa buat petisyen asal ikut lunas undang-undang

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 5 Safar 1444H, Jumaat – Tindakan beberapa pihak mewujudkan petisyen berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seakan-akan menimbulkan persoalan mengenai kredibiti badan-badan di Malaysia.
Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, dalam negara demokrasi, terpulang kepada sesiapa untuk membuat petisyen sedemikian.
Pun begitu, agak ganjil kerana hukuman yang dijatuhkan ke atas Najib baharu sahaja bermula bahkan ada beberapa kes lagi yang belum selesai dibicarakan.
“Tetapi selagi ianya mengikuti lunas undang-undang dan berperlembagaan, maka terpulanglah.
“Tujuan petisyen ada kalanya mungkin bukan pengampunan itu sendiri tetapi lebih kepada tujuan-tujuan lain yang pencetusnya rancangan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Beliau bagaimanapun tidak pelik dengan perkara itu kerana ketika ini seolah-olah semua badan ada isu yang dipertikaikan sama ada mahkamah, ahli politik, parti, atau
badan pelaksana dan penguat kuasa.
“Ini adalah isu yang kita kena fikirkan dengan lebih serius dan kuat.
“Nampaknya sekarang mana-mana pihak ada ‘peluru’ untuk ditujukan kepada mana-mana badan yang tidak ‘sebulu’ dengan pihaknya kerana memang wujud unsur yang boleh dipertikaikan.
“Akhirnya ini akan membawa kepada tidak ada satu badan pun akan dihormati oleh masyarakat. Negara boleh hilang cengkaman ke atas rakyat dan rakyat boleh bermaharajalela menentukan apa sahaja,” katanya.
Beliau berkata, kes bekas Perdana Menteri ini adalah kes unik yang menuntut semua pihak untuk berfikir dengan mendalam mengenai perjalanan negara.
“Ambillah masa dengan tenang tanpa terburu-buru,” katanya.
Beberapa petisyen dalam talian dilancarkan untuk Najib selepas beliau menjalani hukuman penjara 12 tahun atas sabitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Ada petisyen menuntut pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bahkan wujud juga petisyen supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak wajar diampunkan, atas alasan beliau melakukan jenayah terhadap kepentingan rakyat Malaysia.