Berita Utama

Taksub bela penjenayah tanda kejatuhan UMNO

'Singkir pemimpin yang masih tangisi penjenayah atau lihat UMNO terkubur'

BANGI, 5 Safar 1444H, Jumaat – Sikap sebahagian penyokong serta barisan tertinggi UMNO yang masih mengagungkan pemimpin mereka yang sudah pun dihukum bersalah, jelas menjadi petanda kejatuhan parti itu.

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, mereka sepatutnya mengenang kembali sejarah penubuhan UMNO serta matlamat asal parti, bukannya membela penjenayah.

“Perjuangan asal parti UMNO adalah memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan membebaskan negara dari cengkaman penjajah.

“Ia berkembang dan didukung ramai kerana agenda mega ini.

“Apabila hari ini segelintir pimpinan UMNO mula memanamkan ketaksuban kepada individu penjenayah yang telah didapati bersalah oleh 9 orang hakim dan 3 mahkamah, ia merupakan petanda awal kejatuhan parti ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tidak bersetuju dengan solidariti melampau segelintir pihak berkenaan, Muhammad Lukman berkata, pemimpin yang dilihat masih membela penjenayah besar dalam parti itu harus dibuang daripada UMNO. 

“Siapa yang menangisi penjenayah ini harus disingkirkan dari parti, atau UMNO akan terkubur bersama-sama agenda usang yang hanya tinggal dalam kenangan,” katanya.

Sabtu lalu, UMNO menganjurkan Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dihadiri oleh ribuan penyokong parti terbabit.

Media melaporkan, antara inti pati taklimat adalah menunjukkan solidariti ahli UMNO kepada bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak yang dihukum penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button