Berita Utama

Ulama PAS cadang larang individu didakwa di mahkamah bertanding pilihan raya

Tidak wajar diberi peluang kerana bimbang akan salah guna kedudukan

YAN, 5 Safar 1444H, Jumaat – Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mencadangkan kerajaan agar mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya termasuk melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan dan rasuah.

Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, DUPP berpandangan bahawa individu berkenaan tidak wajar diberi peluang untuk bertanding kerana bimbang mereka akan menyalahgunakan kedudukan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan sekiranya memenangi pilihan raya.

“Dalam aspek ini, kita mengharapkan agar kes-kes melibatkan rasuah dan salah laku pemimpin parti politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif.

“Kita semua perlu mengangkat semula maruah demokrasi dalam negara selaras dengan prinsip Islam,” katanya ketika berucap pada Muktamar DUPP sempena Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, di sini hari ini.

Turut hadir Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Awang Hashim.

Ahmad berkata, individu yang pernah mengeluarkan kenyataan menggugat keharmonian negara serta mempertikaikan hak-hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan turut wajar digugurkan kelayakan bertanding pilihan raya.

Beliau berkata, cadangan menetapkan setiap syarat kelayakan itu bagi memperkasa integriti calon dan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya, sekali gus bergerak ke arah kematangan demokrasi.

“Kita mengharapkan agar amalan demokrasi terus subur dan bersih daripada budaya rasuah dan salah laku yang sehingga akhirnya mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya, yang turut meminta kerajaan menyegerakan penggubalan akta pendanaan politik bagi membanteras budaya politik wang dalam kalangan parti politik. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button