Berita UtamaDunia

Uyghur kritik laporan PBB tak label pencabulan China sebagai genosid

‘Untuk apa adanya PBB jika tak boleh akui apa yang berlaku depan muka’

KASHGAR, 5 Safar 1444H, Jumaat – Kumpulan Uyghur mengkritik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), apabila hanya merekodkan situasi pencabulan oleh Beijing di Xinjiang sekadar ‘jenayah kemanusiaan’.

Kumpulan itu mendakwa, PBB akur kepada tekanan daripada China dengan tidak melabelkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai (genosid).

“Ia adalah kemenangan bagi China kerana pembunuhan beramai-ramai yang berterusan dan jenayah kemanusiaan terhadap Uyghur dan orang-orang Turki yang lain telah dikurangkan kepada ‘pelanggaran hak asasi manusia’.

“Ia semata-mata untuk menjaga China dan menghalang Konvensyen Genosid PBB daripada digunakan secara rasmi,” kata Perdana Menteri Kerajaan Turkistan Timur di Pengasingan, Salih Hudayar kepada Middle East Eye.

Laporan setebal 49 muka surat yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) – yang mengambil masa setahun – memperincikan rentetan pencabulan hak terhadap Uyghur dan minoriti Islam lain di wilayah barat jauh China.

“Pelanggaran hak asasi manusia yang serius telah dilakukan di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR) dalam konteks penerapan strategi memerangi keganasan dan menentang ‘ekstremisme’ oleh kerajaan,” kata laporan PBB.

Justeru, Salih menggesa Beijing untuk segera membebaskan ‘semua individu yang dengan sewenang-wenangnya dilucutkan kebebasan mereka’.

Ini termasuk menjalankan ‘semakan penuh’ undang-undang mengenai keselamatan domestik dan memansuhkan semua undang-undang diskriminasi.

Dakwaan itu telah ditolak sekeras-kerasnya oleh China, manakala Amerika Syarikat (AS) mengalu-alukan laporan itu dengan mengatakan ‘memperdalam dan mengulangi kebimbangan besar kami’ berhubung layanan terhadap Uyghur dan minoriti Islam lain di Xinjiang.

Kumpulan Uyghur bagaimanapun kesal kerana ia tidak melabelkan kezaliman China terhadap umat Islam di Xinjiang sebagai genosid.

“Laporan itu gagal menyebut perkataan pembunuhan beramai-ramai sekali.

“Anda patut tertanya-tanya untuk apa adanya PBB jika ia tidak boleh mengakui apa yang jelas berlaku depan muka,” kata Rahima Mahmut, seorang juru kempen Uyghur yang berpangkalan di UK dan pengarah Kongres Uyghur Sedunia.

PBB kelmarin mengeluarkan laporan menggemparkan yang ditunggu-tunggu sekian lama, mendakwa berlaku pencabulan serius terhadap hak asasi manusia membabitkan etnik Uyghur dan kumpulan lain yang kebanyakannya Muslim di wilayah Xinjiang, China.

Menurut laporan itu yang dikeluarkan di Geneva pada jam 11.47 malam, tuduhan berhubung penyeksaan ke atas golongan terbabit adalah boleh dipercayai dan berkemungkinan berlaku jenayah kemanusiaan.

Bagaimanapun, laporan setebal 49 muka surat itu tiada merujuk genosid, iaitu antara tuduhan utama oleh pengkritik China, termasuk AS serta Ahli Parlimen di negara Barat yang lain. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button