Berita Utama

32 mangsa terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar

Hujan lebat dipercayai menjadi punca kejadian kepala air

KUALA TERENGGANU, 6 Safar 1444H, Sabtu – Sebanyak 32 individu termasuk 13 kanak-kanak terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong di Setiu petang semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, fenomena kepala air itu melanda tempat orang ramai beriadah, mandi manda dan berkhemah sehingga menyebabkan enam kereta turut terperangkap.

Katanya, ketika pasukan penyelamat tiba di kawasan rekreasi berkenaan pada 6.30 petang, didapati tempat kejadian tidak dapat dimasuki akibat arus deras.

“Kejadian berpunca daripada kepala air dari bahagian hulu Sungai Ulu Kasar akibat hujan lebat menyebabkan mangsa dan kenderaan terperangkap.

“Mangsa terperangkap terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa serta 13 kanak-kanak dan mereka telah diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Beliau berkata semua mangsa dibawa ke Masjid Merbau Menyusut Sungai Tong pada 8.40 malam oleh pihak polis, bomba serta orang awam untuk proses dokumentasi dan didapati tiada mangsa yang hilang atau lemas.

Afandi berkata pihaknya turut menasihati semua mangsa terlibat untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button