Berita Utama

80 peratus tanah di bandar bukan lagi milik orang Melayu

Kerajaan seolah lepas tangan biar pasaran tentu harga, polisi rumah

BANGI, 6 Safar 1444H, Sabtu – Kerajaan dilihat seolah-olah hanya bersikap lepas tangan dan membiarkan pasaran menentukan harga serta polisi perumahan sehingga menyukarkan pemilikan kepada orang Melayu.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, hampir 80 peratus pemilikan tanah di kawasan-kawasan bandar kini adalah dalam kalangan orang bukan Melayu.

Malah, katanya lagi, kedatangan pendatang luar yang kaya ke bandar, ditambah dengan nilai ringgit semakin rendah, maka sudah tentu kos pembelian hartanah di negara ini bakal mengujakan lagi pelabur asing.

“Akhirnya orang Melayu kini terpaksa tinggal di pinggir-pinggir bandar. Kalau ada pun penempatan orang Melayu yang masih kekal sehingga sekarang ini ialah Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Itupun sudah ada usaha untuk mengeluarkan mereka atas alasan pembangunan,” katanya.

Aminuddin berkata, Kampung Kerinchi yang dahulunya majoriti penduduk orang Melayu juga kini sudah bertukar tangan kepada pihak lain.

“Bukan sahaja orang Melayu kehilangan tanah, malah nama Kerinchi pun sudah hilang ditukar kepada Bangsar South.

“Tidak mustahil bandar-bandar besar di negara ini juga akan menjadi milik bangsa asing,” katanya.

Beliau tidak menafikan bahawa harga tanah sudah semakin mahal dan pemaju terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk membina kediaman, namun jika kerajaan tidak peka, maka akhirnya akan membentuk strata penduduk yang tidak harmoni.

“Rakyat akan terpisah dengan kaum Cina terutamanya akan tinggal di bandar manakala orang Melayu terus dilambakkan di pinggir bandar.

“Pemisahan sebegini akan menimbulkan sentimen yang negatif antara kaum yang boleh bertukar kepada keganasan seperti berlaku di Afrika Selatan,” katanya.

BACA ULASAN PENUH HAJI AMINUDDIN YAHAYA DI SINI;

Kerajaan perlu bertindak berstrategik elak ‘penghapusan’ orang Melayu di bandar

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button