Berita Utama

Jiao Zong tetap pendirian tak mahu gabung SJKC mikro

'Bila digabung bilangan SJKC berkurangan, nak tambah balik sangat sukar'

MELAKA, 6 Safar 1444H, Sabtu – Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee mengulangi pendirian pertubuhan radikal Cina itu yang sebelum ini menentang rancangan penggabungan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mikro.

Beliau berkata, walaupun dalam masa terdekat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu ini, Jiao Zong bertegas tidak akan berganjak daripada pendirian.

Katanya, Jiao Zong akan tetap menentang cadangan yang dikemukakan oleh KPM dan hanya akan bersetuju dengan rancangan memindahkan SJKC mikro ke tempat lain.

“Sekiranya SJKC tiada murid, tiada lokasi untuk dipindahkan dan perlu ditutup, maka lesen sekolah perlu dikekalkan dan perlu disahkan secara hitam putih sehingga lokasi sesuai dikenal pasti untuk pemindahannya.

“Kami tegaskan sekali lagi, kami hanya bersetuju untuk memindahkan sekolah, bukan penggabungan sekolah, kerana bila digabungkan bilangan SJKC akan berkurangan, bila kurang sebuah, nak tambah balik sangat sukar, inilah pendirian Dong Jiao Zong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ulang Tahun ke-71 Program Kutipan Sumbangan Jiao Zong untuk Pendidikan Cina dan Sesi Perkongsian oleh Jiao Zong. 

Turut hadir wakil dari Persatuan Guru, Lembaga Pengurus Sekolah Cina dan guru besar SJKC kesemuanya dari Melaka.

Enggan berganjak daripada pendirian itu, Lek Aee menyatakan bahawa Jiao Zong adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan dengan kemampuan kewangan yang terbatas.

Oleh itu, katanya, ia bergantung kepada sokongan masyarakat Cina dalam perjuangannya mempertahankan pendidikan Cina.

“Sepanjang tempoh negara dilanda COVID-19, sumber kewangan Jiao Zong telah teruk terjejas. Oleh itu, sasaran RM3 juta telah ditetapkan sempena ulang tahun ke-71 Program Kutipan Sumbangan Jiao Zong untuk memastikan semua usaha mempertahankan pendidikan Cina terus dilaksanakan,” katanya.

BERITA BERKAITAN:

Murid sedikit tapi Dong Zong Melaka enggan SJKC dikurangkan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button