Berita Utama

Kerosakan pokok hiasan di Dataran Merdeka dianggar bernilai RM620,000

DBKL dalam usaha bersih kawasan terjejas, ganti pokok terdiri 24 spesies berbeza

KUALA LUMPUR, 6 Safar 1444H, Sabtu – Kerosakan pokok hiasan berhampiran Dataran Merdeka semasa perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu, bernilai lebih setengah juta ringgit.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberitahu, tanaman yang dianggarkan bernilai RM620,000 itu telah musnah di sepanjang Jalan Raja, Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Perak.

Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, DBKL sedang dalam usaha membersihkan kawasan terjejas dan menggantikan pokok terdiri daripada 24 spesies berbeza, yang musnah pada hari itu.

“Peratusan keluar pada 31 Ogos adalah luar biasa tinggi, dan banyak tanaman landskap berhampiran Dataran Merdeka telah musnah.

“DBKL sedang mengenal pasti jika mana-mana pokok itu boleh diselamatkan,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Terdahulu, dalam catatan Facebook pada Rabu, DBKL memuji semangat patriotisme orang ramai yang hadir menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan.

“Tapi dalam pada itu, ada pula sesetengah dalam kalangan kita yang langsung tak mempedulikan persekitaran dan keindahan kawasan.

“Langsung rasa tak bersalah merosakkan landskap yang disemai cantik. Semangat itu sudah bagus, tapi caranya tak betul,” kata DBKL.

Catatan itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, dengan sebahagiannya mengecam pihak bertanggungjawab terhadap kerosakan tanaman, manakala yang lain menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak memastikan ruang mencukupi untuk orang ramai menyaksikan sambutan.

Perarakan Hari Kebangsaan 2022 pada hari Rabu menarik lebih 100,000 orang, dua kali ganda anggaran awal iaitu 50,000 orang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button