Berita Utama

Rujuk pihak berkuasa agama sebelum guna vaksin COVID-19

Bagi tingkatkan keyakinan rakyat sebagai kaedah cegah wabak

KOTA BHARU, 16 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Kerajaan diminta merujuk kepada pihak berkuasa agama atau Majlis Fatwa berhubung vaksin COVID-19 terlebih dahulu sebelum mula digunakan, supaya kaum Muslim dapat menerima penggunaannya nanti tanpa sebarang keraguan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara ini penting supaya dapat meningkatkan keyakinan rakyat khususnya orang Islam untuk menerima vaksin itu sebagai kaedah rawatan mencegah daripada dijangkiti wabak itu.

“Ada segelintir masyarakat yang tolak terus vaksin ini, tetapi bagi saya ini tidak tepat dari segi agama, sebab vaksin juga antara usaha untuk kita mencegah daripada sesuatu penyakit. Jadi, kalau ia halal dan tidak bercanggah syarak, apa salahnya.

“Namun, kita minta supaya kerajaan Persekutuan menjalankan kajian terperinci dan merujuk kepada pihak berkuasa agama atau majlis fatwa supaya tidak timbul polemik dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Pada 7 November lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan kerajaan akan mula membuat tempahan awal vaksin COVID-19 menerusi peruntukan berjumlah lebih RM3 bilion dalam Belanjawan 2021 yang dianggarkan diperoleh suku pertama tahun depan selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button