Berita Utama

KSN dilantik Pengerusi secara Ex-Officio MKI

Watikah pelantikan Zuki Ali disempurna Sultan Selangor pada 1 September

BANGI, 6 Safar 1444H, Sabtu – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, watikah pelantikan Mohd Zuki telah disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI pada 1 September lalu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu telah dinaik taraf daripada Persidangan Ketua-Ketua Jabatan atau Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia (PKJ) yang sebelum ini dipengerusikan Ketua Pengarah Jakim.

“Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) Kali ke-259 yang telah diadakan pada 30 Jun 2022 telah berkenan untuk menaik taraf jawatankuasa ini dan Ketua Setiausaha Negara diperkenan sebagai Pengerusi secara Ex-Officio berkuat kuasa mulai 30 Jun 2022 sehingga 29 Jun 2024.

“Keanggotaan jawatankuasa ini adalah terdiri daripada wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri setelah mendapat perkenan Raja Pemerintah di Negeri-Negeri dan dua orang ahli yang dilantik oleh MKI dengan perkenan MRR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hakimah yang juga Setiausaha MKI berkata, jawatankuasa yang diurusetiakan oleh Jakim itu ditubuhkan bagi menyediakan platform untuk membincangkan perkara dasar berkaitan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Ini antaranya bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia pada tahap terbaik selari dengan undang-undang, dasar dan peraturan yang berkuat kuasa selaras dengan agama Islam sebagai agama Persekutuan, katanya.

“Ia juga bertindak sebagai kumpulan pemikir (think tank) yang menentukan dasar-dasar berkaitan tadbir urus terbaik hal ehwal Islam di Malaysia serta bertanggungjawab menyelaras dan mewujudkan keseragaman dalam pentadbiran dan pelaksanaan hal ehwal agama Islam di Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button