Dunia

Teruk dizalimi, mental tahanan bawah umur Palestin makin merosot

Israel tolak rayuan hapus klasifikasi 'keganasan' ke atas Ahmad Manasra

RAMALLAH, 6 Safar 1444H, Sabtu – Mahkamah Daerah Beersheba Israel semalam menolak rayuan untuk menghapuskan klasifikasi ‘keganasan’ ke atas tahanan Palestin bawah umur, Ahmad Manasra.

Manasra disoal siasat secara ganas tanpa orang dewasa dan peguam yang hadir, selain ditahan dengan kejam di penjara walaupun tidak melakukan jenayah.

Negara haram Israel telah mengekalkan klasifikasi Manasra sebagai tahanan pengganas, di mana pasukan pembelaannya tidak boleh memohon pembebasan awal kerana dia telah menamatkan dua pertiga tempohnya, menurut Kelab Tahanan Palestin.

Pada Ogos, Mahkamah Daerah Beersheba melanjutkan tempoh tahanan bersendirian Manasra selama enam bulan lagi, walaupun penyakit mentalnya semakin teruk.

Pada 2015, Manasra yang ketika itu berusia 13 tahun dan sepupunya yang berusia 15 tahun dituduh menikam dua warga Israel di penempatan Pisgat Ze’ev di Tebing Barat diduduki.

Sepupunya mati ditembak di tempat kejadian, manakala Manasra dilanggar sebuah kereta dan mengalami kecederaan serius di kepala.

Susulan penahanannya, rakaman video yang tersebar secara meluas di media sosial menunjukkan Manasra pada usia mudanya tertekan diperlakukan dengan kasar dan disoal siasat tanpa kehadiran ibu bapa atau wakil peguam.

Selepas berusia 14 tahun pada 2016, Manasra disabitkan dengan cubaan membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun walaupun undang-undang pada masa jenayah itu didakwa dilakukan pada 2015, tidak membenarkan kanak-kanak bawah umur dipenjara.

Hukuman itu kemudiannya dikurangkan kepada sembilan tahun setengah.

Keadaan mental Manasra dilaporkan semakin merosot, mungkin disebabkan oleh keadaan penahanannya yang kejam dan diletakkan dalam tahanan secara bersendirian.

Walaupun keadaannya semakin teruk, pihak berkuasa Israel menolak permintaan peguam untuk membenarkan pembebasan awal.

Laporan perubatan mendapati, Manasra menghidap skizofrenia dan mengesahkan kesan buruk daripada layanan kejam diterimanya pada usia muda. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button