Berita Utama

Tiada kerjasama perkara babit dosa, rasuah, salah laku: Presiden PAS

PAS juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran

ALOR SETAR, 6 Safar 1444H, Sabtu – PAS tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat, kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata PAS juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus.

“Kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa.

Justeru, PAS menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Muktamar PAS ke-68 di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hasan dan Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin serta 1,300 perwakilan dan saf kepimpinan PAS daripada 197 kawasan.

Sementara itu, Abdul Hadi mengingatkan parti politik memberi tumpuan usaha membangunkan semula negara.

Beliau berkata kebijaksanaan kerajaan Persekutuan mengadakan persefahaman politik bersama parti-parti pembangkang demi mewujudkan kestabilan politik adalah satu langkah yang matang.

Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS telah lebih dahulu memperkenalkan pendekatan politik yang dikenali sebagai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) sejak tahun 2015 lagi.

Katanya meskipun PAS berada di blok pembangkang (ketika itu), PAS mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional, demi kemaslahatan negara dan rakyat yang lebih besar.

“Ketika PAS memperkenalkan BPMS, terdapat parti-parti pembangkang yang menyindir sinis pendirian PAS dengan pelbagai tohmahan.

“Hari ini, kita boleh menyaksikan sendiri pendekatan BPMS ini sememangnya wajar dibudayakan dalam kalangan parti-parti politik sama ada di pihak kerajaan atau di pihak pembangkang,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button