Dunia

WHO pantau wabak radang paru-paru misteri di Argentina

9 kes termasuk pekerja kesihatan dilaporkan dengan tiga kematian

CHICAGO, 6 Safar 1444H, Sabtu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang memantau 10 kes wabak radang paru-paru tidak diketahui punca di Argentina yang setakat ini membawa kepada tiga kematian.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO), kes itu dikaitkan dengan sebuah klinik swasta di bandar San Miguel de Tucuman yang terletak di barat laut negara itu.

Laporan awal pada Selasa, termasuk lima pekerja kesihatan dan seorang pesakit yang dirawat di wad rawatan rapi klinik dengan gejala berlaku antara 18 hingga 22 Ogos.

Pada Khamis lalu, pegawai kesihatan tempatan melaporkan tiga lagi kes menjadikan jumlah keseluruhan kepada sembilan termasuk tiga kematian.

Difahamkan, ketiga-tiga kes berkenaan dilaporkan sudah mempunyai masalah kesihatan lain.

Pada Jumaat, Argentina melaporkan kes tambahan wabak itu yang mempunyai gejala seperti demam, sakit otot dan perut serta sesak nafas.

PAHO berkata, hasil ujian pernafasan yang diketahui dan agen virus, bakteria dan kulat lain adalah negatif.

Sampel biologi telah dihantar ke Makmal Pentadbiran Kebangsaan dan Institut Kesihatan Argentina untuk ujian tambahan, termasuk analisis kehadiran toksin.

Setakat ini, PAHO dan WHO sedang memantau wabak itu dan membantu pegawai kesihatan tempatan menyiasat puncanya.

Penyelidik tempatan mendakwa, ‘penyakit misteri’ kadangkala berlaku dan selalunya boleh dijelaskan oleh beberapa wabak tempatan yang tidak mempunyai implikasi pandemik. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button