Berita Utama

Zahid kata MN kerjasama ‘dangkal’, Hadi dakwa bukan pandangan akar umbi

PAS masih berpegang kepada perjanjian asal kerjasama MN

ALOR SETAR, 6 Safar 1444H, Sabtu – Kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerjasama UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) bersifat ‘dangkal’, tidak menggambarkan pandangan keseluruhan parti dan akar umbi UMNO, kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata justeru PAS masih berpegang kepada perjanjian asal muafakat tersebut dan menganggap kerjasama MN masih wujud.

“Saya harap itu kenyataan pimpinan UMNO dan bukan ahli-ahli UMNO, bukan akar umbi, dalam UMNO bukan ada presiden sahaja, ada MT (Majlis Tertinggi), ada naib presiden, ada bahagian-bahagian dia, itu pandangan presiden sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-68 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid yang dimuat naik dalam Facebook rasminya menyatakan UMNO perlu bergerak ke depan memandangkan PAS hanya menawarkan kerjasama politik yang disifatkan ‘dangkal’ dalam MN.

Justeru Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan adanya kerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melalui platform MN berpegang kepada prinsip politik itu bersifat dinamik.

Ditanya mengenai adakah PAS telah dipanggil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang mengenai pembubaran Parlimen untuk memberi laluan bagi PRU15, Abdul Hadi berkata:

“Setakat ini tiada, sepatutnya panggil (PAS) dan bincang, sebab kita dalam kerajaan, dalam Kabinet, sebarang pembubaran kena ada persetujuan semua (dalam Kabinet),” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button