‘Kita sedia tiga, empat atau lima penjuru’
'Tak timbul masalah pun siapa nak bertanding di mana'

BANGI, 7 Safar 1444H, Ahad – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bersedia mengikut keputusan parti untuk memberi khidmat di mana sahaja diletakkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Beliau berkata, Malaysia negara demokrasi, justeru sesiapa sahaja boleh bertanding di mana-mana sahaja tanpa perlu dipersoalkan.
“Tak timbul masalah pun siapa nak bertanding di mana sahaja kerana ini negara demokrasi.
“Tiada siapa yang boleh mempersoalkan sesiapa kerana individu yang cukup kriteria boleh bertanding di mana sahaja.
“Namun begitu, mengenai pertandingan di Putrajaya, pandangan saya amat mudah, saya orang parti dan apa sahaja yang dinyatakan parti itu yang saya ikuti,” katanya seperti dilapor Utusantv.com, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang secara sinis mempersoalkan siapa Radzi.
Perkara berkenaan menjadi bualan susulan khabar angin Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan diletakkan di Putrajaya bagi merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun Radzi menegaskan tiada siapa yang boleh mempersoalkan sesiapa kerana individu yang cukup kriteria boleh bertanding di mana sahaja.
“Negara demokrasi ini tak timbul siapa nak bertanding di mana kerana sebuah negara, apabila cukup syarat dan kriteria serta jika itu keputusan parti.
“Jadi sesiapa sahaja boleh bertanding di mana-mana, tiada siapa boleh persoalkan siapa,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan dalam PRU-15 akan datang.
“Kita bersedia tiga, empat atau lima penjuru sekalipun, nama pun pertandingan. Itulah pegangan seperti mana disebut Muhyiddin.
“Apa yang paling penting adalah untuk kita pastikan dalam PRU-15 nanti, PN dapat melakukan yang terbaik,” katanya.