Berita UtamaDunia

Akibat cuai, tahanan Palestin maut dalam penjara Israel

Musa Haroun alami gangguan saraf sebelum ditangkap, keadaan merosot dalam penjara

BAITULMAQDIS, 7 Safar 1444H, Ahad – Kumpulan Palestin mendakwa rejim haram Israel melakukan kecuaian perubatan berikutan kematian tahanan, Musa Haroun Abu Mahamid, semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dua bulan lalu ketika cuba memasuki Baitulmaqdis dari Tebing Barat yang diduduki untuk bekerja, menurut Kelab Tahanan Palestin (PPC).  

Bagaimanapun, tentera Israel mendakwa, ketika itu dia tidak mempunyai permit untuk bekerja di Baitulmaqdis.

Keluarganya berkata, dia mengalami gangguan saraf sebelum ditangkap, dan keadaannya semakin merosot dalam penjara. Dia dipindahkan ke Hospital Assaf Horveh pada awal Ogos.

Semalam, PPC berkata, pihak berkuasa Israel memaklumkan kepada keluarga Musa Haroun bahawa mayatnya akan diserahkan semula untuk dikebumikan.

“Musa Haroun telah berdepan jenayah kecuaian perubatan yang disengajakan,” kata PPC dalam satu kenyataan.

Ia berkata, tindakan rejim menyasarkan rakyat Palestin dengan alasan mereka telah memasuki Israel tanpa permit telah meningkat sejak awal tahun, bukan sahaja melalui penangkapan tetapi juga melalui pembunuhan secara langsung.

Pada Julai, keluarga Ahmad Harb Ayyad menuduh tentera Israel menyebabkan kematian pekerja Palestin berusia 32 tahun itu selepas menyerangnya secara fizikal berhampiran penghadang pemisah di bandar Tulkarm Tebing Barat.

Tentera Israel menafikan situasi itu, yang berlaku dua minggu selepas tentera Israel membunuh Nabil Ahmad Ghanem, 53, berhampiran tembok pemisah di selatan bandar Qalqilia, ketika dia dalam perjalanan untuk bekerja di dalam Israel.

Kematian Musa Haroun berlaku beberapa hari selepas kira-kira 1,000 banduan Palestin menangguhkan mogok lapar – yang mana pihak berkuasa penjara Israel akur dengan tuntutan mereka untuk membatalkan langkah keras yang dikenakan di seluruh penjara selama berbulan-bulan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button