Berita Utama

Logo PAS: Majlis Syura tentukan sebelum ke Mesyuarat Tertinggi PN

PAS Selangor juga mahu bertanding guna logo parti

BANGI, 7 Safar 1444H, Ahad – Cadangan penggunaan logo PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diperincikan di peringkat Majlis Syura Ulama sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk diputuskan minggu depan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain penggunaan logo bulan di tiga negeri, parti juga akan mempertimbangkan permintaan PAS di negeri lain yang menyuarakan hasrat sama.

“Parti akan perincikan perkara ini di peringkat PAS dan akan bawa peringkat Majlis Tertinggi PN untuk dipertimbangkan.

“Secara asas saya tengok Pengerusi PN berlapang dada untuk mendengar pandangan tersebut sebelum diputuskan dalam mesyuarat.

“Selepas usul berkenaan diangkat sebagai keputusan parti, perkara itu akan dicadang dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PN untuk dipertimbangkan,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menjelaskan usul berkenaan tidak dibahaskan dalam muktamar ekoran membawanya ke Majlis Syura PAS.

“Ada satu usul kita terima tanpa bahas, namun disebabkan ia berkaitan keputusan parti yang perlu bawa ke Majlis Syura, kita ambil keputusan untuk diangkat ke pentadbiran parti yang tak perlu dibahas, cuma perlu dapatkan keputusan Majlis Syura,” katanya.

Jelas beliau, PAS Selangor menjadi negeri terbaharu mahu bertanding dengan menggunakan logo parti itu pada PRU15.

Cadangan itu dikemukakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Noor Najhan Mohamad Salleh ketika membahaskan ucapan dasar Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang di muktamar, semalam.

Terdahulu, PAS Kelantan, Terengganu dan Kedah bercadang menggunakan logo parti pada PRU15, di negeri masing-masing dan bukannya logo PN seperti yang pernah diguna pakai pada PRN di beberapa negeri sebelum ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button