Berita Utama

PAS perlu tarik sokongan bukan Islam, kecilkan pihak lawan

'Jangan ramaikan musuh, jangan cari yang banyak berkelahi’

BANGI, 7 Safar 1444H, Ahad – PAS perlu mengambil pendekatan mengecilkan pihak lawan dengan memastikan masyarakat bukan Islam turut menyokong parti tersebut.

Atas sebab itu, PAS perlu mencari sokongan dan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam untuk bergabung, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, perkara itu yang diajar dalam Islam dan menjadi tanggungjawab semua pihak bermula dari pimpinan tertinggi hingga ke akar umbi bagi memastikan sasaran itu tercapai.

“Jangan meramaikan musuh, jangan cari yang banyak berkelahi dengan kita, itu langkah yang sangat penting untuk mencapai kemenangan.

“Kita mesti mempunyai syarat-syarat sebenar istiqamah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, parti itu kini telah berjaya menembusi benteng yang memisahkan parti tersebut dengan orang bukan Islam daripada pendekatan berkenaan.

“Akhir-akhir ini kita dapat menembusi masyarakat bukan Islam dan sebab itu ahli-ahli kita bertambah dan kita lebih maju.

“Kalau DAP boleh lantik Ahli Parlimen daripada orang India di kawasan majoriti Cina. Mengapa kita tak boleh minta orang Cina sokong kita dalam pilihan raya. Mengapa mereka tak boleh pilih Melayu?,” katanya.

Tegas beliau kejayaan dalam mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong dalam kalangan bukan Islam antara contoh kejayaan memecahkan tembok pemisah berkenaan.

“Ini kejayaan yang besar cuma peranan dewan himpunan ini mesti ‘masuk’ dalam masyarakat bukan Islam,” ujarnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button