Peluang kedua: PH umpama hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong
Banyak krisis keselamatan, kedaulatan berlaku di zaman pemerintahan PH

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 7 Safar 1444H, Ahad – “Rakyat telah lama menolak Pakatan Harapan (PH), jadi janganlah jadi hidung tak mancung pipi tersorong sorong.
“Tiada makna peluang kedua kerana telah terbukti PH gagal memerintah negara”, bidas Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Jawatankuasa Pendidikan PH (JKPPH) yang meminta rakyat memberikan peluang kedua untuk memerintah semula negara, kononnya bagi membolehkan proses mereformasi sistem pendidikan diteruskan.
JKPPH dalam kenyataan semalam mendakwa, PH berjaya menghentikan skandal kewangan membabitkan pendidikan masa depan anak-anak di bangsa di Sarawak apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati mereka bersalah dan dijatuhi hukuman.
Tidak menganggap itu sebagai kejayaan PH, Muhammad Lukman berkata, jika dilihat pemerintahan PH selama 22 bulan, banyak isu-isu keselamatan, kedaulatan salah laku dan rasuah yang berlaku termasuklah kes Lim Guan Eng sendiri.
“Bahkan PH gagal membawa kemajuan kepada ekonomi, gagal menyatupadukan rakyat berbilang kaum, gagal dari segala aspek.
“Peluang yang diberikan sudah cukup untuk membuktikan mereka tidak lagi layak memimpin dan kepimpinan baharu Malaysia harus dilantik dalam PRU15 nanti,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Justeru, mana-mana parti dan pemimpin yang mentadbir selepas PRU15 nanti, harus lah mengambil iktibar daripada kegagalan PH.
Jelasnya, pakatan yang dibina atas asas yang tidak kukuh, tiada kesatuan agenda, tiada perpaduan yang mantap serta tiada kepimpinan yang telus di kalangan parti komponen seperti PH bakal membawa kepada satu bencana besar.
“Kita dapat lihat selepas PRU14 negara mengalami ketidakstabilan politik yang amat membahayakan. Inilah yang harus kita pelajari dan jangan ulang.
“Kestabilan politik itu akan membawa kepada kestabilan ekonomi dan juga kemajuan negara,” katanya.
Beliau menegaskan, pakatan baharu yang akan lahir selepas PRU15 ini haruslah stabil dan memiliki agenda perjuangan yang jelas.
“Pakatan yang hanya mementingkan kemajuan rakyat dan negara dan bukannya kepentingan parti politik mahupun individu tertentu dalam parti politik tersebut,” katanya.