Berita Utama

Tahun 2050 akan saksikan Perdana Menteri dari PAS

Sasar menang 40 kerusi Parlimen pada PRU15

ALOR SETAR, 7 Safar 1444H, Ahad – PAS menyasarkan sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen bakal dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekiranya PAS berjaya mencapai sasaran itu, maka tidak ada mana-mana parti yang dapat membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa melibatkan PAS sebagai gabungan. 

PAS akan bertanding 80 kerusi – separuh daripada ditandingi parti itu pada PRU14 lalu di mana ia sudah disenaraikan Jabatan Pilihan Raya (JPP) PAS Pusat. 

“Mana-mana kawasan yang tidak capai KPI akan digugurkan dan diganti dengan kawasan lain yang didapati ada peningkatan prestasi baik dari segi persiapan jentera mahupun keperluan lain untuk menghadapi pilihan raya,” katanya seperti dilapor Harakahdaily. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Kompleks PAS Kedah, di sini hari ini. 

Sanusi yakin rakyat dapat merasai pelbagai manfaat sekiranya kerusi kerajaan didominasi PAS.

“Ketika PAS mempunyai 17 kerusi pun dengan 3 Menteri, 8 Timbalan Menteri, banyak perjuangan ataupun dasar-dasar yang ditentukan oleh PAS telah dapat dirasai nikmatnya oleh rakyat Malaysia. 

“Bayangkan bila kita ada 40 kerusi. 40 kerusi inilah milestone yang diletakkan dalam perjalanan PAS yang panjang kita sasarkan bermula 2020 sehingga 2050. 

“Pada tahun 2050, siapa yang dapat hidup lagi pada masa itu, akan saksikan Perdana Menteri Malaysia daripada PAS,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli untuk tidak berkecil hati dan memboikot parti sekiranya individu cadangan mereka tidak terpilih untuk menjadi calon pilihan raya.

“Calon-calon pilihan raya, saya nak minta satu saja sekiranya kawan yang kita harap menjadi calon tidak terpilih atas sebab-sebab tertentu. Sama ada ada calon yang lebih baik ataupun kawasan yang kita cadang itu dapat kepada rakan dalam muafakat politik ini. 

“Dilarang memboikot parti dalam pilihan raya. Hak ni berlaku di beberapa kawasan. Untuk maju ke depan sebagai parti model parti politik terbaik di Malaysia pemimpin dan ahli PAS di semua kawasan tidak akan memboikot parti jika hasrat diri sendiri tidak tercapai.

“Kita akan ikut apa saja keputusan yang diputuskan oleh kepimpinan pasal calon ni,” katanya kepada sekitar 1,300 perwakilan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button