Berkempen guna gambar Sultan Selangor di papan iklan, calon PH mohon maaf
Berterima kasih kepada MP Machang kerana tegur di media sosial
BANGI, 20 Muharram 1445H, Isnin – Calon Pakatan Harapan (PH-DAP) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze memohon maaf kerana menggunakan gambar Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada papan iklan kempennya.
Menerusi hantaran di Facebook, Mei Sze memaklumkan bahawa papan iklan berkenaan telah diturunkan serta-merta oleh pasukannya.
Dia turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana menegur dan membangkitkan perkara itu di media sosial.
“Untuk makluman, ini adalah gambar hari pertama persidangan DUN Selangor dan niatnya hanya untuk melambangkan Dewan Undangan Negeri.
“Kami tidak ada sebarang niat untuk menggunakan gambar atau mengheret DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam kempen politik kami. Sekali lagi kami mohon maaf dan tidak akan mengulangi kesilapan ini lagi.
“Sesungguhnya bumi mana yang tidak ditimpa hujan, kami adalah manusia dan tiada sesiapa lari dari kesilapan,” katanya.
Papan iklan itu memaparkan imej anggota DUN yang sedang duduk dan bergambar bersama-sama dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam pakaian rasmi Dewan Undangan.
Papan iklan itu juga mengandungi logo PH dan diletakkan sebagai sebahagian daripada kempen Ng.
Sebelum ini, Wan Ahmad Fahysal membangkitkan perkara itu yang menyatakan bahawa tidak mungkin Mei Sze tidak memahami peraturan kerana dia bukanlah calon baharu dan juga pernah menjadi Ahli Parlimen sebelum ini.
“Ini memang biadab menunggang dan mengheret istana dalam kancah politik kepartian,” katanya.