Berita UtamaIstimewa

Hanya Tun M, Muhyiddin respon jemputan dialog PEMBELA

Sesi pertama bersama Pengerusi GTA akan diadakan pada Ahad ini

BANGI, 8 Safar 1444H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengesahkan bahawa hanya dua daripada empat pemimpin utama parti Melayu-Islam di negara ini sudah memberikan maklum balas terhadap surat jemputan bagi siri dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya memaklumkan bahawa hanya Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah memberi respon kepada surat jemputan itu.

Sementara, dua lagi pemimpin yang turut mendapat surat sama iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih belum menjawab undangan berkenaan.

Sehubungan itu, Aminuddin berkata, sesi pertama dialog dengan NGO dan aktivis berkenaan akan dimulakan bersama Dr Mahathir di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada Ahad ini.

“Setiap yang hadir berpeluang untuk bertanyakan soalan-soalan khususnya mengenai solusi kepada permasalahan-permasalahan umat Islam di Malaysia dan tawaran kepada umat Melayu-Islam menjelang PRU15.

“Kita mahu sesi ini benar-benar ‘hati ke hati’. Maka, kita berharap agar Tun Mahathir serta pimpinan parti yang hadir nanti jujur dengan segala jawapan yang diberi.

“Tidak ada nak berlapik atau beretorik. Kerana kita tidak bodoh untuk menilai segala kepalsuan yang diungkapkan politikus ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sesi dialog itu juga menyediakan peluang kepada NGO-NGO dan tokoh yang hadir untuk menyatakan hasrat mereka kepada parti-parti Melayu-Islam yang bakal bertanding kelak.

Katanya, tujuan utama sesi dialog itu diadakan adalah untuk menyediakan peluang kepada para aktivis berinteraksi dua hala dan secara terus dengan kepimpinan gabungan parti untuk membuat penilaian secara matang serta rasional.

“Seperti yang saya selalu perkatakan, orang Melayu perlu betul-betul tahu apa yang mereka mahukan dari ‘politik’ itu sendiri.

“Semua ini dapat digapai melalui pemikiran kritis, kematangan dan kebijaksanaan. Siri dialog sebegini antara usaha kita untuk mencapainya.

“Semoga dipermudahkan segala urusan kami, dan semoga Tan Sri Haji Hadi Awang dan Datuk Seri Zahid Hamidi dibukakan hati untuk memenuhi undangan kami ini,” katanya.

Berita berkaitan;

PEMBELA anjur dialog dengan pemimpin empat parti Melayu-Islam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button