Berita Utama

Desakan PRU15 gambaran Zahid Hamidi tak dapat sokongan Top 5 UMNO?

Bila gendang PRU15 dipalu beri mesej bercanggah dengan keputusan dahulu

BANGI, 8 Safar 1444H, Isnin – Benarkah tindakan mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan secara terbuka hanya memberi gambaran bahawa Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mendapat sokongan di peringkat Top 5 UMNO?

Ini kerana, banyak tindakan UMNO kebelakangan ini seperti tidak selari dengan keputusan-keputusan yang telah dibuat sebaik Naib Presiden terkanan parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri baharu pada 21 Ogos 2021.

Bekas Profesor Madya Fakulti Sains Sosial dan Kebangsaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Mohd Noor Yazid berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini ada menyatakan bahawa tempoh Perdana Menteri baharu hanya memfokuskan usaha membantu rakyat, menangani COVID-19 dan memastikan proses vaksinasi disegerakan.

Beliau berkata, setelah negara berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri UMNO itu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat melalui PRU15.

“Begitupun, sesudah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden terkanan UMNO berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu pada 21  Ogos 2021, nada MKT UMNO mula berubah.

“Sewaktu menegaskan pendirian menyokong pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, MKT Khas UMNO pada 27 Ogos 2021 memutuskan bahawa UMNO mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi dalam pelbagai cabang kerajaan, termasuklah untuk mewujudkan Parlimen lebih efisyen, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti.

“…selain campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain,” katanya.

Menulis di Berita Harian (BH), Dr Mohd Noor berkata, Ahmad Zahid dalam kenyataannya pada 8 September 2021 menyebut UMNO telah membuat pendirian menyokong pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Merujuk kenyataan Zahid itu bermakna, parti menyerahkan kebijaksanaan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dalam membuat keputusan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara.

“Ini diikuti oleh penegasan MKT UMNO pada 12 Januari 2022 bahawa sokongan kepada Ismail Sabri adalah sentiasa kekal, malah perlu dimantapkan.

“Seterusnya, MKT UMNO pada 14 April 2022 sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15,” katanya.

Menurut Dr Mohd Noor, MKT UMNO pada 24 Jun lalu juga menegaskan kembali mengenai keperluan Akta Anti Lompat Parti dibentang segera di Parlimen sebelum PRU15 dengan tambahan akta pendanaan politik juga perlu diwujudkan supaya garis panduan jelas mengenai kewangan parti.

Malah, MKT UMNO juga menetapkan bahawa negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) melakukan langkah meminda undang-undang tubuh/enakmen negeri masing-masing setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan lompat parti selesai digazetkan.

Oleh itu, katanya, UMNO sendiri telah berkali-kali memutuskan bahawa menyerah kebijaksanaan kepada Ismail Sabri untuk membuat keputusan, apatah lagi beliau diputuskan sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15.

Maka, sudah pasti Ismail Sabri maklum apa yang perlu dilakukan bagi memastikan kemenangan besar UMNO dan BN dalam PRU15, katanya.

“UMNO sendiri juga memutuskan bahawa kerajaan masih perlu membereskan beberapa agenda penting yang belum selesai, seperti mewujudkan Parlimen lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih dan Akta Pendanaan Politik selain memastikan negeri-negeri di bawah pentadbiran BN hendaklah melakukan langkah untuk meminda undang-undang tubuh/enakmen negeri masing-masing.

“Kesemua ini sedang dilaksanakan pihak kerajaan dan ia memerlukan sedikit masa untuk dijayakan, maka bila tiba-tiba sahaja gendang PRU15 dipalu maka ia memberi mesej yang bercanggah dengan keputusan-keputusan parti sebelum ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button