Pendapat

Kenapa kita dijajah, kerana rempahkah?

Misi salib, misi utama penjajahan

SEJARAH Malaysia bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada zaman kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera. Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana pemimpin yang berwibawa, sistem pentadbiran dan pemerintahan yang cekap di samping kedudukannya yang strategik berada di titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat.

Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara. Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut.

Persoalannya kenapa negara kita dijajah oleh Barat bermula dengan Portugis pada tahun 1511 dan berakhir dengan British pada tahun 1957. Negara kita dijajah selama 446 tahun. Kenapa negara Barat datang ke Timur dan menjajah negara-negara Timur termasuk Malaysia. Adakah kita pernah mengkhianati mereka. Apa hak mereka untuk menjajah negara kita.

Ada satu faktor utama iaitu misi salib yang belum selesai. Pertembungan Islam dan Kristian era baru bermula kurun ke 10 belum tamat. Dendam kesumat Kristian terhadap Islam belum reda. Kejatuhan bandar Konstantinople terkenal dengan gereja Aya Sophia (Istanbul Turki sekarang) pada tahun 1453 di tangan Sultan Alfateh telah meranap jiwa mereka kerana kota ini adalah pusat gerakan Kristian. Mereka mengambil perancangan baru dengan menjajah negara-negara Islam di Timur.

Kedatangan mereka adalah misi salib. Rombongan datang ke Timur terdiri dari paderi dan jeneral tentera. Dikatakan dalam satu misi mereka terdiri dari 300 orang paderi. Adakah misi paderi ini untuk mencari rempah semata-mata, tetapi beginilah catatan yang terdapat dalam sejarah yang dibaca anak-anak watan setelah merdeka. Sejarah kita dicatat sedemikian. Semuanya menyebut kedatangan penjajah hanya kerana rempah. Kedatangan British telah merosakkan negara kita dalam politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Kedatangan mereka juga menjarah harta negara. Hasil mahsul negara semuanya diangkut dengan bantuan bangsa asing yang didatangkan khas untuk menjarah kekayaan negara kita. Ini sejarah kemerdekaan yang perlu kita fahami. Kita dipisahkan dengan saudara-saudara kita di sekeliling nusantara. Sebelum kedatangan Barat kita bersaudara. Kerajaan Melayu Melaka menaungi negara-negara sekeliling Selat Melaka termasuk negara Pantai Timur Sumatera. Tetapi penjajah British telah merosakkan semua sistem dan peradaban yang dibina oleh nenek moyang kita berpandukan Islam sebagai teras kehidupan.

Tanggungjawab kita semua untuk menyediakan naratif baru dalam kajian sejarah. Cukup rempah ratus dijadikan alasan utama kedatangan Barat ke Timur. Perebutan pasaran rempah hanya sampingan kecil dalam misi penjajahan Barat. Misi salib adalah misi utama penjajahan mereka.

Ustaz Sharipudin Abdul Kadir
Ketua Perhubungan ISMA Kelantan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button