Berita UtamaDunia

Korban banjir Sudan kini 112 orang

34,944 kediaman musnah teruk, 49,060 lagi rosak

KHARTOUM, 8 Safar 1444H, Isnin – Lebih 100 orang maut dan puluhan ribu rumah musnah akibat hujan lebat dan banjir di Sudan sejak Mei lalu.

Hujan lebat biasanya berlaku di Sudan antara Mei dan Oktober dan negara itu menghadapi banjir teruk setiap tahun, memusnahkan harta benda, infrastruktur serta tanaman.

Bulan lalu, Sudan mengisytiharkan darurat akibat banjir di enam negeri.

“Jumlah orang yang maut akibat hujan lebat dan banjir mencecah 112 orang,” kata Jurucakap Majlis Kebangsaan Sudan untuk Pertahanan Awam, Abdel Jalil Abdelreheem.

Pihak berkuasa pada akhir Ogos lalu melaporkan seramai 79 maut akibat banjir.

“Sebanyak 34,944 rumah musnah sepenuhnya manakala 49,060 rosak,” kata Abdelreheem kepada AFP, sambil menambah bahawa kira-kira 115 orang cedera.

Krisis itu berlaku ketika Sudan bergelut akibat pergolakan politik dan krisis ekonomi yang semakin meruncing.

Ia diburukkan lagi oleh rampasan kuasa tentera tahun lalu – yang diketuai oleh ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan.

Menurut agensi kanak-kanak PBB, UNICEF, negeri timur Gedaref dan Kassala, negeri Kordofan Utara dan Selatan, negeri Sungai Nil, dan wilayah Darfur adalah antara yang paling teruk terjejas.

PBB juga memberi amaran bahawa banjir tahun ini boleh menjejaskan sehingga 460,000 orang – jauh lebih tinggi daripada purata 388,600 orang terjejas setiap tahun antara 2017 dan 2021. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button