Berita Utama

Pemasangan lokar di sekolah dijangka akhir bulan

Fasa pertama babit sekolah ada dua sesi, utama murid tahap satu

BANGI, 8 Safar 1444H, Isnin – Proses pemasangan lokar di sekolah rendah seluruh negara dijangka dimulakan akhir bulan ini bagi mengatasi isu beg berat dalam kalangan murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, fasa pertama pemasangan lokar membabitkan sekolah yang mempunyai dua sesi dengan keutamaan bagi murid Tahun 1 dan Tahun 2 terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah sekolah terbabit dengan pemasangan lokar itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Untuk lokar bagi fasa satu ini, kita akan laksanakan untuk sekolah yang dua sesi untuk murid tahap satu, dan untuk fasa satu ini kita buat untuk murid Tahun 1 dan Tahun 2.

“Insya-Allah kita akan mula pasang lokar-lokar di sekolah pada penghujung bulan ini, jadi bulan 10 itu kita akan cuba ikhtiarkan supaya semua perolehan itu akan sampai ke sekolah dan semuanya dipasang,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Penyediaan lokar adalah antara tujuh inisiatif yang disenaraikan Mohd Radzi pada Mac lalu, dalam usaha menangani isu beg berat dihadapi murid.

Enam lagi inisiatif lain yang turut diumumkan beliau adalah penyusunan semula jadual waktu sehingga empat mata pelajaran sehari, buku latihan tidak melebihi dua buah dan buku teks digital.

Selain itu, guru turut digalakkan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bertema atau modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (Virtual Lab) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buku teks dan penggunaan uniform sekolah kebangsaan dibenarkan bagi sesi persekolahan kelas agama fardhu ain (KAFA).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button