Berita Utama

PH ibarat retak menanti belah

Hasrat tolak Belanjawan 2021 ketepikan kepentingan rakyat

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Pakatan Harapan (PH) kini seperti retak menanti belah selepas timbul pelbagai pertikaian berhubung tindakan sebahagian Ahli Parlimenya yang tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku membuat keputusan dan meminta Ketua Whip parti supaya tidak menyokong usul undi belah bahagi di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Dakwanya, tindakan itu diambil bagi memberi ruang Ahli Parlimen meneliti secara terperinci dan mendalami keseluruhan pengumuman Menteri Kewangan.

Pada masa sama, Ketua Parlimen DAP, Anthony Loke juga mengaku bertanggungjawab memberikan arahan kepada Ahli Parlimen parti itu selepas mendapat mesej daripada Anwar.

Beliau mendakwa, meskipun Belanjawan 2021 sudah diluluskan di peringkat dasar, pembangkang akan membantah dan menolak peruntukan yang tidak dipersetuju di peringkat jawatankuasa kementerian masing-masing.

Namun, tindakan itu tetap mencetuskan tidak puas hati Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang menuntut permohonan maaf dan ‘mengugut’ akan menyarankan parti itu memutuskan hubungan PKR serta membubarkan PH.

Mengulas krisis gabungan itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim menyifatkan tindakan PH menolak belanjawan sebagai helah gabungan menutup perpecahan yang sedang berlaku.

“Pada hakikatnya, PH umpama retak menanti belah. Ahli Parlimen Melayu, muslim khususnya mesti bersikap matang membawa agenda nasional dan kepentingan rakyat.

“Janganlah hanya berpolitik kosong dan hilang prinsip,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Omar juga tidak menolak kemungkinan tindakan pembangkang tidak menyokong undi belah-bahagi itu hanyalah retorik semata-mata.

“Ia sekadar bimbang mereka akan dikatakan menderhaka kepada saranan Yang di-Pertuan Agong yang mana pada hakikatnya mereka memang tidak menghormati baginda.

“Yang terbukti derhaka ialah 13 orang Ahli Parlimen tersebut. Yang lain masih menentang untuk menjadikan bajet tidak lulus di peringkat jawatankuasa, turut bermakna mereka tidak mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

PH sebelum ini hanya sempat mentadbir kerajaan 22 bulan, apabila gabungan itu tumbang selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Februari lalu. 

Krisis bertambah buruk sejak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar PH, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button