Berita Utama

Sediakan naratif baharu kajian sejarah

Salib misi utama penjajahan mereka, bukan rempah

BANGI, 8 Safar 1444H, Isnin – Rempah ratus bukan alasan penting kedatangan Barat ke Timur sebaliknya misi salib adalah tujuan utama penjajahan mereka.

Ketua Perhubungan ISMA Kelantan, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir berkata, perebutan pasaran rempah hanya sampingan kecil dalam misi penjajahan Barat.

“Kedatangan mereka adalah misi salib. Rombongan datang ke Timur terdiri dari paderi dan jeneral tentera. Di katakan dalam satu misi mereka terdiri dari 300 orang paderi.

“Adakah misi paderi ini untuk mencari rempah semata-mata, tetapi beginilah catatan yang terdapat dalam sejarah yang dibaca anak-anak watan setelah merdeka.

“Sejarah kita dicatat sedemikian. Semuanya menyebut kedatangan penjajah hanya kerana rempah.

“Kedatangan British telah merosakkan negara kita dalam politik, ekonomi, pendidikan dan sosial,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak mengambil tanggungjawab untuk menyediakan naratif baharu dalam kajian sejarah.

Katanya, kedatangan penjajah juga menjarah harta negara.

“Hasil mahsul negara semuanya diangkut dengan bantuan bangsa asing yang didatangkan khas untuk menjarah kekayaan negara kita. Ini sejarah kemerdekaan yang perlu kita fahami.

“Kita dipisahkan dengan saudara-saudara kita di sekeliling nusantara. Sebelum kedatangan Barat kita bersaudara. Kerajaan Melayu Melaka menaungi negara-negara sekeliling Selat Melaka termasuk negara Pantai Timur Sumatera.

“Tetapi penjajah British telah merosakkan semua sistem dan peradaban yang dibina oleh nenek moyang kita berpandukan Islam sebagai teras kehidupan,” katanya.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/09/05/kenapa-kita-dijajah-kerana-rempahkah/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button