Berita Utama

UMNO bertindak ‘kamikaze’ jika segerakan PRU yang bawa padah

Annuar Musa anggap pendirian PAS perlu dilihat positif, terbuka

BANGI, 8 Safar 1444H, Isnin – Tatkala pendirian PAS terhadap isu penyatuan ummah seolah-olah dipertikai kebanyakan pemimpin UMNO, Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengambil sikap berbeza apabila ia dilihat secara positif dan terbuka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, UMNO tidak seharusnya ‘terjun’ ke pilihan raya umum (PRU) tanpa menyempurnakan penyatuan Melayu, apatah lagi cuba bergerak solo dalam situasi politik yang sudah banyak berubah.

Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 1946, UMNO adalah tunggak perpaduan orang Melayu yang paling utama, bahkan perkara itu menjadi teras kekuatan parti berkenaan selama ini.

“PAS telah mengambil satu langkah strategik bila mengisytiharkan dasar meneruskan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“PRU tidak lama lagi. Ia harus disegerakan sebaik saja kita siap siaga dari semua sudut. Top 5 UMNO tentunya sudah ada garis masa yang ditentukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Annuar berkata, antara salah satu kesiapsiagaan terpenting adalah formula untuk menang.

“Menyegerakan PRU bagi memenuhi tujuan lain, tetapi jika membawa padah, adalah satu tindakan ‘kamikaze’ politik buat UMNO. Kita harus elakkan itu.

“Kita harus membuat kajian terperinci dan objektif. Data dan hasil penyelidikan yang rapi diperlukan. Kesilapan lampau jangan berulang,” katanya.

Ini kerana katanya, politik negara hanya stabil jika teras berpaksikan politik orang Melayu dan tiang seri politik kukuh.

“Strategi musuh adalah untuk melihat politik Melayu lemah. Ia lemah bila orang Melayu berpecah.

“UMNO perlu memimpin perpaduan dan penyatuan. Pendirian PAS harus dilihat secara positif dan terbuka,” katanya.

Menurut Annuar, strategi PRU15 perlu digarap rapi dan bukan di atas dasar emosi atau kepentingan diri.

“UMNO perlu menang dan terus memimpin.

“Peranan ini akan hilang dari UMNO jika kita cuba menyendiri dan tidak mengutamakan peranan asas penubuhannya, iaitu sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button