Artikel Khas

Warkah buat Najib

Pengalaman SRC,1MDB jelas dapat bezakan mana sahabat, kawan dan lawan

WAHAI Najib keturunan mulia bangsawan…

Sentiasa ingat makna nama kamu, nama yang telah diberikan oleh kedua ibubapa kamu, agar kamu mendapat kekuatan….Najib bererti, keturunan mulia (bangsawan), cerdas, utama dan bernilai. Ada sebab musabab namamu sedemikian rupa.

Ketika warkah ini disiarkan, saudara berada dalam bilik kecil jeriji besi. Semua orang tahu betapa seksanya hidup terkurung meskipun ada layanan berbeza. Tetapi ingatlah, setiap perkara yang berlaku terselindung hikmah, yang hanya Dia sahaja yang tahu, kerana Dia Maha Perancang dan Maha Mengetahui segala-galanya.

Yakinlah bahawa kehidupan ini tidak terlepas daripada ujian dan dugaan, tidak kira sama ada orang itu Islam atau tidak, ada pegangan agama atau tidak, tua atau muda, kaya atau miskin.

Sebagai seorang Islam, kita kena yakin, ada hikmah di sebalik ujian ini. Ada maksud tersirat yang mungkin kita sukar untuk mengetahui, melain Yang Maha Esa. Sentiasa ingat nama kamu.

Jika sekiranya, keputusan yang dibuat tidak berpaksikan keadilan, pasti Allah akan melaknati mereka itu, jika tidak pun di dunia, di akhirat sudah tentu. Apalah sangat ‘keadilan’ di dunia sementara ini, berbanding yanbg Maha Mengadili.

Wahai Najib yang cerdas…

Ingatlah Allah turunkan ujian ini untuk menaikkan darjat di sisiNya. Allah sayang kepada kita. Allah mahukan hapuskan dosa-dosa kita. Lakukanlah muhasabah diri, apa yang telah kita lakukan selama ini.

Allah tidak akan uji kita di luar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya. Jadi, Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.

Ingatlah, apabila Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya kita perlu bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Ketika saudara rasa kehilangan dan keresahan dipenjara, alihkan pandangan bayangan matamu ke arah laut, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan gembira tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan bayangan pandanganmu ke arah sungai, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Seterusnya, jika rasa sedih, alihkan pandanganmu ke langit terbuka, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.

Percayalah, semua itu, mahu mengingatkan dan menyedarkan kita semua akan kebesaran dan kehebatan Pencipta

Kepada Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu dan segan untuk merayu, meminta, memohon kepada Allah SWT. Yakinlah, Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan doa hambaNya, Allah itu Maha Mendengar, Maha segalanya.

Wahai Najib yang utama dan bernilai…

Dekatkanlah diri kita dengan Pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Selain berdoa, kita perlulah berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Jangan cepat berputus asa. Mungkin saudara merasa diri tidak kuat untuk menghadapinya tetapi cubalah bangun dan terus bangun.

Jangan tewas dengan hasutan syaitan, carilah kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita semua. Setiap diri kita ada kekuatan masing-masing. Yakinlah dengan diri, kuatkan azam dan tekad. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita menjadi lemah, selemah-lemahnya

Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat yang sentiasa dapat memberi semangat dan motivasi kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat berbanding kawan. Sukar mencari sahabat berbanding kawan. Sahabat menangis sukar dicari berbanding kawan ketawa. Ingatlah, apa yang telah berlaku, bagaimana kawan lari, apabila kita berada dalam kesusahan. Pengalaman SRC dan 1MDB sudah jelas dapat membezakan mana sahabat, kawan dan lawan.

Saudaraku Najib, sekali lagi diingatkan akan maksud namamu, keturunan mulia bangsawan, cerdas, utama dan bernilai…

Dalam kehidupan ini, selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Allah SWT berfirman.

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” ( Al-Ankabut ayat 2)

Menurut Hamka tiap-tiap iman pasti akan ada ujian, yang tidak tahan dan tidak berhasil dengan ujian tersebut, maka imannya masih sebatas di mulut, belum di hati. Ini merupakan tingkat keimanan yang paling rendah.

Benarlah kata pepatah, semakin tinggi pohon, maka makin kencang pula angin menerpanya. Demikian pula dengan hubungan iman dan ujian, semakin tinggi darjat iman seseorang, makin besar pula cubaan dan ujian yang menimpanya.

Beruntunglah kita yang selalu diberi ujian sebagai tanda Allah swt sayang pada kita. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuanNya. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik. Jangan lupa, gunalah masa dan malam yang berlalu, untuk terus sujud kepada Allah SWT.

Akhir sekali, nasihatkanlah pemimpin UMNO agar jangan terlalu ghairah dan kuat egonya mendesak PM, supaya disegerakan PRU15. Keadaan politik semasa masih belum membenarkan. Tunggulah sehingga masalah yang menyelubungi UMNO reda sedikit dahulu.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button