Berita UtamaIstimewa

Dakwa parti perasuah, Tun M gesa tolak UMNO

'Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan 'Cash is King'

BANGI, 9 Safar 1444H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pengundi menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu mendakwa, UMNO sekarang sudah beralih menjadi parti perasuah secara total – dari puncak pimpinan sehingga ke akar umbi.

Dakwanya, pucuk pimpinan UMNO sekarang terkenal di seluruh dunia sebagai perasuah, pencuri berbilion duit negara, penyalahguna kuasa, perosak pentadbiran negara dan penghancur UMNO itu sendiri.

“Rasuah, sogokan duit dibuat sehingga ahli Majlis Tertinggi, ketua bahagian, ketua cawangan, ahli biasa semua terlibat dengan rasuah tanpa malu.

“Walaupun ahli boleh singkir pemimpin yang menyeleweng, tetapi mereka tidak guna Perlembagaan UMNO untuk bersihkan parti.

“Sebaliknya mereka teruskan sokongan kuat kepada Presiden yang akhirnya di dapati bersalah dan di penjara,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menegaskan, pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak tidak membersihkan UMNO.

Katanya, budaya UMNO bukan budaya parti di waktu ia ditubuh pada 11 Mei 1946 – yang menyelamat Tanah Melayu dari diambil alih oleh British, bukan yang berjaya merebut kemerdekaan negara dan kemudian telah bangun negara sehingga terkenal sebagai Harimau Asia.

“Sebab itu UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.

“Saya, bekas Presiden UMNO dan ahli UMNO di waktu ia ditubuh pada 1946, menyeru supaya parti yang bernama UMNO sekarang ini ditolak sepenuhnya.

“Saya sedih. Tetapi yang benar saya perlu terima. Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan bahawa ‘Cash is King’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button