46 maut dalam gempa bumi di Sichuan
Berukuran 6.8 skala Richter, jadikan gempa paling kuat sejak 2017
SICHUAN, 9 Safar 1444H, Selasa – Gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter melanda wilayah Sichuan di China pada Isnin, mengorbankan lebih 40 orang dan menggegarkan ibu kota wilayah Chengdu dan lebih banyak wilayah jauh.
Seramai 46 orang terbunuh dalam gempa itu, lapor media kerajaan China Xinhua hari ini, memetik pihak berkuasa tempatan pada taklimat akhbar.
Beberapa jalan dan rumah berhampiran pusat gempa juga rosak akibat tanah runtuh, manakala komunikasi terputus di sekurang-kurangnya satu kawasan, lapor televisyen kerajaan.
Bagaimanapun, tiada kerosakan pada empangan dan stesen janakuasa hidro dalam jarak 50 kilometer (km) (31 batu) dari pusat gempa dilaporkan, walaupun kerosakan pada grid wilayah menjejaskan kuasa kepada kira-kira 40,000 pengguna akhir.
Pusat gempa berada di bandar Luding, menurut Pusat Rangkaian Gempa China, di pergunungan kira-kira 226 km barat daya Chengdu.
Gempa bumi adalah perkara biasa di wilayah barat daya Sichuan, terutamanya di pergunungannya di barat, kawasan aktif secara tektonik di sepanjang sempadan timur dataran tinggi Qinghai-Tibet.
Namun, gempa ini adalah yang paling kuat melanda wilayah itu sejak 2017. – Agensi