Berita Utama

Dialog PEMBELA peluang rakyat nilai parti mana serius atau retorik semata

PEMBELA kempen pemimpin berintegriti, punya hala tuju dikehendaki Islam

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 9 Safar 1444H, Selasa – Objektif utama penganjuran ‘Siri Dialog Parti Politik Melayu-Islam’ adalah memberi ruang kepada pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili rakyat untuk melihat apakah perancangan, visi dan misi pemimpin parti-parti Melayu Islam sedia ada dalam memperjuangkan agama, bangsa serta tanah air ini. 

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, siri dialog ini diharapkan dapat membuka mata untuk melihat mana pemimpin yang sebenarnya serius untuk memperjuangkan rakyat terutama orang Melayu atau pun hanya sekadar retorik sahaja. 

“Itu yang kita harapkan daripada siri dialog ini di mana rakyat dapat menilai yang mana mereka nak sokong dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Aminuddin memaklumkan bahawa hanya Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah memberi respon kepada surat jemputan itu.

Sementara, dua lagi pemimpin yang turut mendapat jemputan iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih belum menjawab undangan berkenaan.

Ditanya sama ada PEMBELA akan berkempen untuk mana-mana parti, Aminuddin berkata, pihaknya tidak berbuat demikian dan hanya menyokong pemimpin yang jelas hala tuju perjuangannya.

“Kita akan kempen pemimpin-pemimpin yang berintegriti, mempunyai hala tuju yang dikehendaki oleh Islam. Itu yang kita akan buatlah. 

“Jadi kita tidak spesifik nak pilih mana-mana parti dan sebagainya. Itu pendekatan kita sebagai NGO yang independent,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, siri dialog yang akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Ahad (11 September) itu diadakan secara terbuka namun kehadiran agak terhad dengan kapasiti 100 orang sahaja.

“Jadi kerana itu kita minta NGO yang ingin bersama boleh kemukakan nama-nama untuk diberikan. Ideal jika setiap NGO mewakilkan tiga hingga empat pimpinan masing-masing untuk hadir ke siri dialog ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button