Berita Utama

Guan Eng kait ‘gelombang hijau’ dengan sekatan agama, PAS gesa ambil tindakan tegas

Takut-takutkan pengundi Pulau Pinang seolah PAS jadi ancaman kepada orang Buddha

BANGI, 19 Zulhijjah 1444H, Sabtu – PAS menggesa kerajaan bertindak tegas ke atas kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng susulan dakwaannya yang menakut-nakutkan pengundi Pulau Pinang terhadap ‘gelombang hijau’.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan Guan Eng bahawa ‘gelombang hijau’ akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan, adalah jelas satu fitnah.

Beliau berkata, dakwaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menggambatkan seolah-olah ‘gelombang hijau’ yang diterajui PAS bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) – iaitu Bersatu dan Gerakan – menjadi ancaman kepada kehidupan beragama orang Buddha.

“Ini menggambarkan kejahilan beliau terhadap kehidupan beragama orang bukan Islam di negeri-negeri yang dikuasai PAS. 

“Beliau perlu lihat kepada keadaan penganut Buddha di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mereka diberi kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama mereka. 

“Bahkan, patung Budhha yang terbesar terletak di Kelantan dan bukannya di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim meragui sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap pemimpin parti rasis dan cauvinis itu.

“Berbeza sekiranya kenyataan seumpama itu diucapkan oleh pimpinan PN, pasti mereka akan terus disiasat dan diambil tindakan.

“PAS menyeru agar Ketua Polis yang telah menegaskan akan mengambil tindakan kepada mana-mana pimpinan politik yang memainkan isu 3R supaya bertindak seperti yang diucapkan.

“Kita ingin melihat sejauh mana tindakan diambil ke atas Lim Guan Eng dengan kenyataan beliau ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button