Berita Utama

Jangan ada pihak bersubahat lepaskan Najib

‘Makan, pakai dan perubatan mereka dalam penjara pun kita yang tanggung’

BANGI, 9 Safar 1444H, Selasa – Walaupun tidak wajar bergembira atas pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak serta hukuman dijatuhkan kepada beberapa individu lagi, namun diharapkan jangan pula ada yang bersubahat melepaskan mereka. 

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin mendakwa, rakyat sebenarnya berdukacita kerana diturunkan bala dalam bentuk pemimpin-pemimpin bermasalah dan tersalah memilih ketua. 

“Janganlah pula ada yang bersubahat melepaskan mereka. Penjenayah terbabit mungkin sedang atau akan membayar hutang perbuatan keji mereka di belakang pagar besi tetapi kitalah yang terpaksa memikul beban perbuatan mereka. 

“Malah, makan, pakai dan perubatan mereka dalam penjara pun kita yang tanggung,” katanya dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.

Beliau mendakwa, bencana politik, ekonomi dan psikologi yang mereka tinggalkan menghantui serta membebankan rakyat untuk satu tempoh panjang. 

Dakwanya, dalam proses mencari keadilan dan membersihkan negara daripada najis rasuah, kestabilan dan keutuhan politik diuji. 

“Alhamdulillah kerajaan-kerajaan pimpinan Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri Yaakob tidak campur tangan dalam perbicaraan mereka walaupun ada tekanan ke arah itu. 

“Ini sedikit sebanyak, membuktikan yang kelakuan politik kita selepas kekalahan UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum 2018 telah berubah menjadi lebih baik,” dakwanya.

Namun, dakwanya lagi, di sudut ekonomi, kerosakan institusi, beban hutang dan kos projek-projek mega yang ditinggalkan akan mengambil masa panjang serta perbelanjaan banyak untuk diselesaikan. 

“Hutang 1MDB yang sebanyak RM50.75 bilion itu akan hanya habis dibayar balik pada 2039 iaitu 24 tahun dari sekarang. 

“Banyak lagi hutang lain yang dibuat oleh Mohd Najib, sama ada yang berkaitan dengan kes-kes rasuah beliau atau tidak yang terpaksa kita tanggung. 

“Misalnya hutang KWAP RM9.2 bilion, Pembinaan PFI Sdn Bhd RM25 bilion dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) termasuk kos pengambilan tanah serta faedah pinjaman lebih RM66 bilion dan banyak lagi. 

“Tidak kira parti dan Perdana Menteri mana memerintah, hutang ini wajib dibayar kerana ia diambil atas nama kerajaan,” dakwanya.

Pada masa sama, A Kadir mendakwa, kesan dari segi psikologi kepada rakyat pula dilihat apabila perbuatan rasuah pemimpin-pemimpin ini dan ahli keluarga mereka, secara khusus menyebabkan orang Melayu hilang keyakinan kepada UMNO manakala orang ramai amnya mula tawar hati terhadap politik. 

Beliau mendakwa, kini ramai orang tidak percaya lagi kepada ahli politik dan proses pilihan raya.

“Aliran ini sangat bahaya kerana boleh membawa kepada pembentukan kerajaan minoriti yang dipilih oleh sebilangan kecil pengundi sahaja. Harapan kita, Undi 18 akan menyegarkan semula persekitaran politik dan melahirkan barisan pemimpin pewaris yang berwibawa. 

“Jadi janganlah pula ada sesiapa bermain dengan api dan mempersendakan undang-undang dan kuasa. 

“Mohd Najib sudah masuk penjara. Dia wajib di situ seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang negara. Jangan lagi dibeza-bezakan antara rakyat biasa dengan orang kenamaan,” katanya.

BERITA BERKAITAN:

Patut atau tidak Najib dapat pengampunan?

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button