Berita UtamaDunia

Kanak-kanak di Lubnan berhenti sekolah demi gaji AS$7 seminggu

70 peratus guru rancang tinggalkan profesion

BEIRUT, 9 Safar 1444H, Selasa – Kemerosotan ekonomi di Lubnan menyebabkan kanak-kanak kini lebih memilih berhenti sekolah dan bekerja demi mendapatkan gaji AS$7 seminggu, lapor Haaretz.

Kira-kira empat daripada 10 kanak-kanak dan remaja di Lubnan mengurangkan perbelanjaan pendidikan untuk membeli makanan asas, ubat-ubatan dan keperluan lain.

Manakala tiga daripada 10 kanak-kanak terpaksa menghentikan pendidikan mereka untuk mendapatkan wang.

Menurut laporan itu, negara kehilangan generasi pelajar sekolah, guru, pelajar universiti dan pensyarah.

Dengan penyusutan paun di Lubnan, gaji guru juga telah jatuh kepada kira-kira AS$100 sebulan, yang tidak mencukupi untuk membayar kenaikan kos bahan api, kata laporan itu.

Pusat Pengajian Lubnan memberitahu, di beberapa bahagian negara itu, buruh kanak-kanak telah meningkat kepada 45 peratus.

Undang-undang melarang pengambilan pekerja di bawah umur 16 tahun, tetapi tiada sesiapa yang menguatkuasakannya, dan walaupun ada – keluarga miskin tidak mampu untuk mematuhi arahan sedemikian.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, kira-kira 12 peratus daripada semua keluarga di Lubnan terpaksa menarik anak-anak mereka dari sekolah dan menghantar bekerja mendapatkan wang.  

Angka berkenaan jelas dokumen itu, tidak menggambarkan realiti dengan tepat: Sukar untuk mengumpul data tentang keciciran sekolah; apatah lagi, ramai kanak-kanak belajar sambilan dan bekerja sepanjang masa, tetapi mereka masih didaftarkan sebagai bersekolah.  

Lubnan, yang pernah menjadi simbol pendidikan tinggi di Timur Tengah, sebuah negara yang pelajar sekolah dan pelajar pengajian tinggi berjaya bersaing dari segi ilmu dan celik huruf di dunia, kehilangan seluruh generasi pelajar sekolah dan guru.  

Satu tinjauan oleh Pusat Pengajian Lubnan di Universiti Amerika di Beirut mendapati bahawa kira-kira 70 peratus guru merancang untuk meninggalkan profesion itu.  

Di samping itu, 89 peratus melaporkan masalah psikologi akibat keadaan ekonomi dan daripada mereka, 69 peratus melaporkan penurunan dalam motivasi untuk mengajar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button