Berita Utama

Pengampunan tidak boleh dipengaruhi perbezaan darjat: Prof Shamrahayu

Lembaga Pengampunan perlu punya garis panduan jelas sebelum dilaksanakan

BANGI, 9 Safar 1444H, Selasa – Pengampunan tak boleh dipengaruhi perbezaan darjat supaya undang-undang tidak dilihat sebagai tidak adil oleh rakyat.

Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, konsep asas pengampunan adalah memberikan peluang kedua kepada pesalah laku selepas individu berkenaan melalui proses pengadilan.

“Namun sejauh mana faktor belas kasihan itu boleh diterima, jika kesalahan tersebut melibatkan kepentingan awam, pengampunan itu tertakluk di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda Awani yang bertajuk Pengampunan Diraja: Undang-undang perlu adil dan saksama.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menjelaskan, raja yang memayungi rakyat seharusnya mewakili suara serta kepentingan awam dan meletakkan keutamaan tertinggi dalam membuat pertimbangan.

Katanya, undang-undang berkenaan ‘direstui’ atau diterima masyarakat umum dan perlu mengambil kira bahawa tidak adanya persoalan tentang perbezaan darjat.

“Itu penting. Jika wujud perbezaan darjat dalam memberikan pengampunan, jadi ini bahaya untuk kedaulatan undang-undang kita,” katanya lagi.

Atas sebab itu, beliau berpendapat, Lembaga Pengampunan perlu mempunyai garis panduan, standard atau parameter jelas tentang bagaimana sesuatu pengampunan itu boleh diberikan mengikut kepada jenis kesalahan.

Dalam masa sama, Prof Shamrahayu berkata, negara kini berdepan kekurangan kajian akademik tentang hal-hal pengampunan.

Malah jelasnya, kalau ada pun beberapa penulisan sahaja dan tidak cukup mendalam.

Justeru, beliau melihat, perkara melibatkan pengampunan kepada orang-orang politik ini adalah isu besar dan wajar dibincangkan dalam dunia akademik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button