Berita Utama

PH tiada hak dakwa pemerintahan bersih dari salah guna kuasa, rasuah

Beberapa pegawai menteri disiasat SPRM kerana disyaki terima sogokan

BANGI, 9 Safar 1444H, Selasa – Pakatan Harapan (PH) tidak berhak mendakwa pemerintahan gabungan itu selama 22 bulan bersih dari salah guna kuasa dan rasuah.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menegaskan, rakyat tidak boleh ditipu, selepas PH menerajui kerajaan pada 9 Mei 2018 beberapa tuduhan salah guna kuasa dan rasuah telah berlaku dalam kalangan pimpinan PH.

Dakwanya, ketika PH memerintah beberapa pegawai Menteri PH telah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima sogokan.

Bahkan yang paling tidak boleh dilupakan, kes-kes yang membabitkan pimpinan utama PH antaranya kes rasuah telah digugurkan oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas – yang sememangnya dikenali pro-PH.

“Nasib baik PH memerintah hanya 22 bulan, sekiranya lebih lama tidak mustahil lebih ramai pemimpin PH yang terjebak dengan salah guna kuasa dan rasuah.

“Perlu diingat, golongan pemberi rasuah sentiasa mengelilingi mana-mana parti politik dan pemimpin mereka yang mereka yakini boleh disogok. Realitinya sekarang, mereka sedang mengelilingi PH,” dakwanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mendakwa, di zaman PH memerintah, badan-badan yang seharusnya bebas sebagai kuasa semak dan imbang pihak eksekutif telah dibolot oleh mereka yang dikenali sebagai mesra PH atau baik dengan pemimpin tertentu dalam PH.

Dakwanya, PH telah melantik Speaker Parlimen dan pegawai-pegawai beliau dari kalangan anggota parti mereka.

“Demikian juga pelantikan Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, dua agensi terpenting kerajaan dalam persoalan ketelusan, dilantik dari kalangan pendukung dan penyokong PH,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button