Berita Utama

PKR Port Dickson mahu Anwar pertahan kerusi Parlimen

Presiden PKR belum buat keputusan, ada kerusi lain ditawarkan padanya

SEREMBAN, 9 Safar 1444H, Selasa – PKR Port Dickson mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin yang merupakan Menteri Besar dan Ketua PKR Port Dickson berkata, pengundi di kawasan ini mahu Anwar mewakili mereka semula.

Katanya, jika Anwar bersetuju untuk mempertahankan kerusinya, ini juga memberi rangsangan kepada Pakatan Harapan (PH) negeri kerana mereka akan menyaksikan pemimpin itu bertanding di Negeri Sembilan.

Anwar memenangi kerusi itu dalam pilihan raya kecil (PRK) melibatkan tujuh penjuru yang diadakan pada 13 Oktober 2018 dengan majoriti 23,560.

Tahun lalu, Anwar menyatakan beliau berasa ‘selesa’ di Port Dickson dan bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Bagaimanapun, katanya, kepimpinan parti akan memberi kata putus mengenai perkara ini.

Semalam, Anwar berkata, beliau belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi itu kerana telah ditawarkan kerusi lain oleh penyokongnya.

Antaranya adalah kerusi Parlimen Tambun di Perak yang ketika ini disandang oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sementara itu, Aminuddin yang memasuki penggal ketiga sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, berkata, beliau bersedia untuk bertanding di kerusi Port Dickson jika diarahkan partinya.

“Kalau itu yang parti mahukan, jadilah,” katanya.

PH kini menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN. Daripada jumlah tersebut, 11 dipegang oleh DAP, PKR (enam) dan Amanah (tiga).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button