Berita Utama

PRU15: GTA hantar permohonan rasmi kepada RoS

Tiada alasan bagi RoS tak luluskan permohonan: Mukhriz

BANGI, 9 Safar 1444H, Selasa – Gerakan Tanah Air (GTA) menghantar permohonan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebagai syarat untuk menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sekiranya diluluskan, GTA yang menggabungkan empat parti politik serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menggunakan logo obor.

Mukhriz berharap, RoS dapat memberi kelulusan segera bagi membolehkan gabungan itu bersiap sedia dalam PRU15.

“Kalau bertanding nanti, lambang inilah yang kita pakai.

“Itu tujuan kita mohon untuk pendaftaran ini, kalau tak boleh sahaja kita bertanding secara bersendirian tetapi kira rasa lebih afdal untuk mengelakkan pertembungan antara keempat-empat parti,” katanya seperti dipetik Utusantv.com, hari ini.

Mukhriz bagaimanapun menjelaskan tiada alasan bagi permohonan GTA kepada RoS itu tidak diluluskan.

Katanya, semua empat parti yang menganggotai gerakan itu juga telah mempunyai pengalaman mendaftarkan parti masing-masing sebelum ini.

“Saya rasa tak ada sebab permohonan kami ditolak, malah syor kita dapat daripada RoS tadi adalah sifat nak meluluskan itu ada, cuma nak mengelak daripada perkara yang menimbulkan masalah.

“Kami semua dah ada pengalaman mendaftarkan parti, masing-masing pun daripada parti yang sudah mendaftar, bukan benda baharu.

“Cuma kali ini nak menggabungkan empat parti, jadi patutnya lebih mudah. Itu yang kita harapkan dapat diperolehi daripada RoS,” katanya.

GTA dianggotai empat parti politik iaitu Pejuang, BERJASA, Parti Perikatan India Muslim Malaysia (Iman) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button