Berita Utama

Tak perlu tambah syarat halang individu kes mahkamah bertanding

Undang-undang sedia ada sudah lengkap dan mencukupi

BANGI, 9 Safar 1444H, Selasa – Kerajaan berpendapat tiada keperluan menambah syarat baharu urusan pencalonan dalam pilihan raya buat masa ini, khususnya bagi individu yang dibicarakan di mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, syarat pencalonan pilihan raya sedia ada sudah mencukupi.

Ia seperti mana yang termaktub dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, dan tambahan syarat hanya akan merumitkan proses pencalonan berkenaan, katanya.

“Bagi memartabatkan demokrasi, tidak perlu menambah syarat baharu bagi menghalang mana-mana individu daripada bertanding, sebagai contoh menggubal undang-undang bagi individu yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah untuk tidak layak bertanding.

“Saya berpandangan tiada keperluan untuk tambah syarat lain bagi mengetatkan syarat pencalonan sedia ada.

“Jika ditambah, ia akan kembali ke era 90-an yang mana proses pencalonan adalah rumit. Adalah wajar kita berpandu kepada undang-undang sedia ada yang sememangnya lengkap dan mencukupi untuk proses pencalonan pilihan raya,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Sebelum ini, Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mencadangkan kerajaan agar mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya termasuk melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan dan rasuah.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, DUPP berpandangan bahawa individu berkenaan tidak wajar diberi peluang untuk bertanding kerana bimbang mereka akan menyalahgunakan kedudukan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan sekiranya memenangi pilihan raya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, status seseorang sebagai Ahli Parlimen pula tidak akan tergugur, selaras syarat yang ditentukan dalam Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan, berkaitan Ahli Parlimen yang dijatuhkan hukuman dan belum mendapat pengampunan.

“Mengikut Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan, apabila proses yang terakhir iaitu proses pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli parlimen itu tergugur dengan sendirinya,” katanya.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/09/02/ulama-pas-cadang-larang-individu-didakwa-di-mahkamah-bertanding-pilihan-raya/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button