Berita Utama

Ahli Parlimen Australia tarik perhatian sampai ucapan dalam bahasa Melayu

Australia mahu jadi simbol keamanan, jaga hubungandengan negara jiran

BANGI, 10 Safar 1444H, Rabu – Ahli Parlimen Australia kelahiran Malaysia, Sam Lim menarik perhatian apabila menyampaikan ucapan di Parlimen Tagney di Dewan Perwakilan Australia menggunakan bahasa Melayu.

Lim, 61, dari Australian Labor Party (ALP) mengambil masa kira-kira 20 minit menggunakan bahasa Melayu dan menekankan kepentingan mempromosikan keamanan bukan sahaja kepada Australia malah negara jiran.

Ketika berucap, Lim merakamkan terima kasih kepada rakyat Australia dan Malaysia yang menyokongnya sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

“Terima kasih atas semua sokongan dan bantuan anda semasa pilihan raya di Australia. Terima kasih semua,” katanya.

Perkara itu dikongsikan Pembantu Menteri Hal Ehwal Luar Australia, Tim Watts menerusi video yang dimuat naik di laman Twitter, hari ini.

Pada pilihan raya umum Australia, Mei lalu, kemenangan ALP mendapat perhatian apabila dua calonnya, Lim dan Penny Wong merupakan kelahiran Malaysia.

Lim dilahirkan di Kampung Parit Zin, Muar, Johor dan berhijrah ke negara itu pada 2002 manakala Wong yang dilantik sebagai Menteri Luar berpindah ke Australia pada 1976.

Lim sebelum ini merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum berkhidmat sebagai pegawai polis di Australia Barat.

Beliau menewaskan calon Liberal, Ben Morton dengan margin 9.5 peratus, dalam Pilihan Raya Umum Persekutuan, Mei lalu.

Dalam ucapan Lim berkata, pihaknya mahu melihat Australia sebagai simbol keamanan dan kepentingan menjaga hubungan baik dengan negara jiran iaitu Asia.

Usaha ‘memalu gendang’ untuk tujuan perang adalah suatu tindakan kurang bijak kerana pihaknya tidak percaya kaedah peperangan adalah jalan untuk menyelesaikan konflik kemanusiaan.

Ini kerana kesan peperangan adalah terlalu besar untuk ditanggung dan semua pihak perlu belajar dari sejarah yang menunjukkan perang hanya membawa kepada kebinasaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button