Dunia

Dua maut taufan Hinnamnor badai Korea Selatan

2,900 mangsa dipindahkan, 66,000 isi rumah terputus elektrik

SEOUL, 10 Safar 1444H, Rabu – Sekurang-kurangnya dua terbunuh manakala 10 yang lain dikhuatiri hilang akibat taufan Hinnamnor yang melanda Korea Selatan.

Taufan yang dianggap paling dasyat dalam beberapa dekad itu telah melanda selatan Jeju sebelum membadai bandar pelabuhan Busan yang menyebabkan ombak besar serta hujan lebat.

Keadaan itu mengakibatkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal selain beberapa kerosakan jalan, kedai dan harta benda.

Taufan itu bergerak ke timur laut merentasi Laut Jepun dan dijangka melalui bandar Sapporo, timur Jepun kira-kira jam 9 malam waktu tempatan, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea.

Pihak berkuasa Jepun berkata, Pulau Hokkaido – di mana Sapporo terletak – akan menghadapi angin kencang dan ombak kuat pada Rabu.

Oleh itu, perkhidmatan kereta api dan penerbangan di Pulau Kyushu dibatalkan apabila berdepan taufan itu lebih awal pada Selasa.

Difahamkan, korban dijangka boleh meningkat apabila operasi menyelamat di kawasan terjejas diteruskan.

Kira-kira 2,900 orang telah dipindahkan dan lebih 66,000 isi rumah di seluruh negara terputus bekalan elektrik akibat taufan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa menutup lebih 600 sekolah di seluruh negara dan menghentikan penerbangan domestik – namun beransur-ansur disambung semula ketika Hinnamnor menuju ke Jepun. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button