Berita Utama

Masyarakat Cina tak mahu bilangan SJKC dikurangkan

Enggan terima cadangan KPM gabung sekolah tiada murid

KUALA LUMPUR, 10 Safar 1444H, Rabu – Masyarakat Cina tetap tidak berganjak daripada pendirian mereka untuk tidak mengurangkan bilangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) meskipun bilangan murid sedikit.

“Tak boleh kurang walaupun sebuah sekolah (tak mau gabung, hanya boleh dipindahkan),” demikian lapor akhbar berbahasa Cina, China Press.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika merasmikan pembukaan SJKC Bandar Kajang 2 mengumumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja SJKC Mikro yang pertama sepatutnya diadakan pada 6 September.

Bagaimanapun, ia ditangguhkan ke hari ini kerana sebilangan wakil dari pertubuhan Cina tidak dapat hadir pada tarikh asal.

Hang Soon ketika itu berkata, terdapat 1,302 buah SJKC di seluruh negara.

Manakala, 616 daripadanya terdiri daripada SJKC mikro yang bersamaan dengan 47.67 peratus.

Sehubungan itu, beliau berkata,  Jawatankuasa Kerja SJKC Mikro ditubuhkan bertujuan agar kajian yang mendalam dan profesional boleh dijalankan untuk manfaat SJKC mikro ini.

Selain itu, Jawatankuasa Kerja SJKC Mikro juga bakal mendengar pandangan dari Lembaga Pengurus Sekolah Cina dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk perancangan masa depan sekolah-sekolah ini. 

China Press melaporkan, isu-isu melibatkan SJKC mikro amat membimbangkan pertubuhan-pertubuhan Cina di Malaysia. 

Antaranya ialah masalah sekolah kurang murid, cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar sekolah-sekolah kurang murid ini digabungkan dan masalah tiada dana yang mencukupi untuk memindahkan SJKC ke lokasi baru. 

Hang Soon berkata, beliau menubuhkan Jawatankuasa Kerja SJKC mikro kerana isu-isu berkenaan SJKC mikro tidak pernah ditangani dengan sebaiknya sebelum ini dan KPM juga tak pernah menubuhkan jawatankuasa khas untuk membincangkannya.

Oleh itu, beliau mahu jawatankuasa ini dapat menyelesaikan pelbagai isu membabitkan SJKC selain dapat menarik perhatian lebih ramai orang tentang isu ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button